PETALING JAYA: Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dipercayai dilantik sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas yang baharu.
Perkara itu susulan ucapan tahniah oleh bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali menerusi satu hantaran Facebook beliau.
“Sekalung tahniah diucapkan kepada Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II atas pelantikan sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas yang baharu,” kata hantaran Facebook itu.
Terdahulu, Mohd. Khairuddin Aman yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha dan Ahli Majlis Syura Ulama Pas.
Menurut Mohd. Khairuddin, beliau mengumumkan perletakan jawatan sebagai Setiausaha Majlis Syura Pas dibuat mengikut peruntukan perlembagaan parti di bawah Fasal 8(7).
Katanya, beliau dijemput menghadiri Mesyuarat Majlis Syura Ulama (MSU) Pas yang diadakan secara hibrid pada pukul 9 malam semalam atas kapasiti sebagai ahli dan setiausaha.
“Pada mesyuarat berkenaan, saya mengumumkan peletakan jawatan atau pemberhentian sebagai setiausaha berdasarkan peruntukan Perlembagaan Pas Fasal 8(7).
“Saya juga meletakkan jawatan atau pemberhentian sebagai Ahli MSU berdasarkan peruntukan Perlembagaan Pas Fasal 8(5),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan perhargaan kepada Pas yang memberi peluang berkhidmat sebagai Ahli Majlis Syura Ulama sejak 2013 seterusnya dilantik sebagai setiausaha sejak 15 Disember 2020.
“Rakaman terima kasih juga kepada Mursyidul Am, Datuk Hashim Jasin dan semua ahli yang telah bertindak selaras dengan Perlembagaan Pas untuk mengelakkan sebarang krisis perlembagaan parti,” jelasnya.
Mohd. Khairuddin berkata, beliau akan terus menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen Pas dan tugasan lain dalam parti.- UTUSAN