JOHOR BAHRU: Pas Johor terkilan dengan tindakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pasir, Najib Lep yang membuat keputusan bertanding sebagai calon bebas walaupun telah ditawarkan kerusi lain dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pesuruhjayanya, Abdullah Husin berkata, parti itu menawarkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) lain yang berpotensi untuk dimenangi Najib.
Menurutnya, walaupun tidak dicalonkan kembali di kerusi Bukit Pasir, Pas Pusat atau negeri tidak pernah menyisihkan Najib yang juga Ahli Jawatankuasa Perhubungan negeri.
“Pas telah meletakkan Najib sebagai calon di DUN lain yang berpotensi dimenangi mengikut kajian yang telah dibuat, namun beliau menolak dan bertegas mahu bertanding di DUN Bukit Pasir kerana merasakan kekuatannya adalah di kerusi berkenaan dan lebih dikenali penduduk setempat.
“Tetapi sebagai orang parti, beliau seharusnya mengikut ketetapan dibuat kepimpinan yang mahukan beliau bertanding di kerusi DUN lain, manakala calon lain ditempatkan di DUN Bukit Pasir,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Pas Johor, di sini hari ini.
Semalam, Najib tiba di Pusat Penamaan Calon bagi kerusi DUN Bukit Pasir untuk bertanding sebagai calon bebas di kerusi berkenaan dalam PRN Johor ini.
Tambah Abdullah, keputusan untuk tidak mencalonkan Najib di kerusi berkenaan dibuat kerana masalah yang dihadapi beliau dengan jentera di DUN berkenaan boleh menjejaskan peluang Perikatan Nasional (PN) untuk melakar kemenangan.
Terdahulu, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, keahlian parti Najib gugur secara automatik kerana tindakannya itu membelakangkan arahan parti.
“Keputusan menjadi calon bebas dan menentang calon Pas di kerusi berkenaan bertentangan dengan arahan dan keputusan parti,” katanya.
Sementara itu, Najib yang dihubungi memaklumkan belum menerima sebarang surat berkaitan dibuang daripada Pas susulan tindakannya bertanding sebagai calon bebas. – UTUSAN