ARAU: Yayasan Keusahawanan Sosial (YKS) membangunkan portal keahlian, pengiklanan dan perniagaan Islam Halal Ria dalam usaha memudahkan urusan perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di peringkat setempat, serantau dan antarabangsa melalui platform digital.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, portal MyHalalRia adalah pusat sehenti yang menyediakan pelbagai aplikasi bagi memudahkan pendaftaran perniagaan, padanan perniagaan, tawaran diskaun dan saluran pengiklanan setempat, serantau serta antarabangsa secara dalam talian dengan lebih baik.
“Sumbangan PKS penting terhadap ekonomi negeri dan menyediakan peluang pekerjaan untuk orang ramai. Proses keberhasilan ekonomi digital dalam kalangan peniaga diharap dapat diperkasakan,” titah baginda ketika merasmikan MyHalalRia Malaysia Halal Marketplace 2022 di Dewan Kecemerlangan Universiti Malaysia Perlis (Unimap), di sini semalam.
Majlis tersebut dianjurkan oleh YKS, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Perlis dan Unimap.
Baginda bertitah, portal tersebut juga bertujuan mewujudkan persekitaran yang lebih mesra peniaga, ramah usahawan dan profesional, bagi meningkatkan daya saing industri serta memacu pertumbuhan ekonomi.
“Usahawan kecil dan sederhana diharapkan dapat memanfaatkan peluang ini dan mendaftar untuk memajukan perniagaan masing-masing,” titah baginda.
Sementara itu Pengarah YKS, Amirul Shakirin Amar berkata, portal tersebut dilancarkan bagi menyediakan pasaran dalam talian halal terkemuka untuk penjual dan pembeli di negara-negara di Asia Tenggara dan Asia Barat.
“Selain itu, kita juga dapat mempromosikan produk dan perkhidmatan halal kepada pengguna Islam dan bukan Islam. Sasaran platform e-dagang Halal adalah satu ekosistem halal yang merangkumi makanan halal, perjalanan halal, fesyen ‘Modest’, pelancongan mesra muslim, kosmetik halal, farmasi halal dan produk pengguna,” ujarnya. – UTUSAN











