Muhyiddin tertekan berdepan PRN Johor - Ahmad Zahid - Utusan Malaysia

Muhyiddin tertekan berdepan PRN Johor – Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melahirkan rasa simpati terhadap Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata, pihaknya simpati melihat karakternya yang sedang tertekan, terdesak dan keresahan untuk berdepan PRN Johor sehingga meroyan dan meranyah sebegitu buruk.

“Setiap insan memiliki hati sama-samalah kita mendoakan agar Tan Sri Mahiaddin Md. Yasin (Muhyiddin) sentiasa diberi kesihatan yang baik oleh Allah. 

“Jika benar saya marah, beliau tidak mahu melepaskan kes mahkamah pastinya beliau tidak mampu jadi Perdana Menteri sehingga 17 bulan lamanya.

“Jika benar saya marah, beliau tidak mahu melepaskan kes mahkamah pasti sudah lama Malaysia berdepan Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU-15). (Nota: ini bukan ugutan tekan butang),” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai  kritikan dilemparkan secara semborono Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dalam ceramah politiknya menjelang pilihan raya negeri itu.

Menurut Ahmad Zahid, beliau juga cekal menghadapi pendakwaan terpilih yang dikenakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap dirinya di atas prinsip berani kerana benar. 

Katanya, ini kerana tidak sesekali beliau sanggup menggadaikan UMNO apatah melompat parti mahupun berselingkuh dengan musuh untuk mengelak daripada didakwa.

“Jika mahu terlepas daripada pendakwaan terpilih barangkali harus saja saya mengabaikan mandat akar umbi UMNO menolak kerjasama PPBM. Tetapi haruskah saya melanggar amanah itu?

“Seseorang yang yakin dirinya tidak bersalah satu-satunya yang diharapkan cumalah perbicaraan yang adil dan saksama,” katanya. 

 

Sangsi dakwaan

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, sebenarnya semua pihak harus berasa sangsi dengan dakwaan yang dibuat oleh seseorang yang telah terbukti mampu untuk berbohong dan memutar belit apa sahaja demi kuasa.

“Sehingga sanggup memutarbelit titah Yang di-Pertuan Agong tentang Ordinan Darurat untuk berbohong kepada Parlimen, malah tergamak menipu nama sebenar.

“Sanggup merancang scheme of things yang melanggar undang-undang dan prinsip demokrasi bagi ‘membeli’ sokongan wakil rakyat supaya bertambah berkuasa.

“Sanggup menawarkan sogokan secara terbuka di kaca televisyen kepada ahli Parlimen supaya menyokongnya kekal sebagai Perdana Menteri,” katanya. 

Tambah beliau, semua pihak boleh menyaksikan sekutu politik Muhyiddin sendiri semasa PRU-14 yang kemudian menjadi seteru selepas berpecah turut berdepan pendakwaan semasa ahli Parlimen Pagoh itu memegang kuasa Perdana Menteri.

“Tetapi percayalah sikap ‘angkat bakul’ Muhyiddin dan kutukannya terhadap saya serta nama bapak saya bukan nilai sebenar Bangsa Johor,” jelasnya. 

Berhubung perbuatan mempermainkan nama ayahnya untuk ditertawakan oleh penyokong PN, beliau berkata, sebagai anak pastinya beliau berasa sedih apabila nama ayahnya dipermainkan dan dihina sebegitu rupa oleh bekas menteri kerajaan PH.

“Hal ini tidak boleh disamakan dengan pendedahan saya tentang nama sebenar seorang pemimpin politik berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) beberapa tahun lalu,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya