Muhyiddin, Hadi sesuai berkawan - Nur Jazlan - Utusan Malaysia

Muhyiddin, Hadi sesuai berkawan – Nur Jazlan

PRN JOhor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang serasi untuk bekerjasama kerana kedua-duanya bijak menggunakan agama untuk kepentingan politik.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kedua-duanya menggunakan dalil dan fatwa berbentuk politik untuk menyerang individu yang tidak sehaluan dengan mereka.

Menurutnya, Muhyiddin menggunakan susur galur sebagai anak seorang guru agama manakala Abdul Hadi memang telah diketahui umum caranya berpolitik.

“Memang serasi mereka berdua berkawan dan bekerjasama kerana masing-masing bijak memanipulasi dan menunggang agama demi keuntungan politik.

Masa dalam UMNO, Muhyiddin pernah labelkan Pas sebagai Parti Ajaran Sesat, tapi apabila bersama Pas, dia keluarkan ‘fatwa’ tinggalkan UMNO adalah satu ibadah.

“Macam Abdul Hadi kita sudah tahu, dia sudah mengkafirkan orang-orang UMNO sejak sekian lama, semuanya atas matlamat untuk keuntungan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nur Jazlan, kombinasi antara Muhyiddin serta Abdul Hadi adalah punca kepada perpecahan ummah kerana mereka menghasut dan memfitnah supaya rakyat membenci parti lawan dan strategi memanipulasi isu berkaitan agama digunakan setelah gagal menyerang kepimpinan UMNO menggunakan cerita-cerita retorik yang sudah basi.

“Selepas gagal menjaja fitnah dan membawa cerita ‘kluster mahkamah’, kini Muhyiddin gunakan isu agama Islam pula dalam kempen dia. Dia serang UMNO dengan dalil agama sebagaimana dia serang Pas dulu. Lagi parah bila Hadi Awang pula boleh berganding bahu dengan orang yang pernah tuduh partinya sesat.

Itulah perangai dua pemimpin tertinggi parti yang pernah gagal ketika menjadi kerajaan namun masih berangan-angan mahu menjadi kerajaan di Johor,” katanya.

Tambah Nur Jazlan, pengundi Johor khususnya orang Melayu dan Islam kini sudah terbuka minda untuk melihat pembohongan atas nama agama yang dibuat oleh Muhyiddin dan Abdul Hadi.

“Justeru itu, rakyat Johor tidak seharusnya terpedaya dengan fatwa dan dalil yang sengaja dimainkan kedua-dua pemimpin itu seperti mana yang berlaku pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya