GEORGE TOWN: Ugutan siber membabitkan kandungan pornografi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang dihantar kepada beberapa wakil rakyat dipercayai datang daripada rangkaian e-mel yang sama.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, siasatan awal mendapati, modus operandi penjenayah siber itu mungkin menggunakan maklumat rasmi yang diperoleh secara terbuka di laman sesawang Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Setakat ini, kebanyakan penerima ugutan adalah lelaki dan saya belum menerima laporan ada wakil rakyat wanita yang terlibat,” katanya selepas menyampaikan bantuan Tabung Kasih@HAWANA kepada seorang pengamal media Pulau Pinang di sini, hari ini.
Sebelum ini, Fahmi turut mengesahkan bahawa beliau antara 10 ahli politik yang menjadi mangsa ugutan siber membabitkan kandungan pornografi dipercayai menggunakan teknologi AI itu.
Katanya, antara wakil rakyat yang menerima ugutan siber dihantar melalui e-mel itu setakat ini ialah Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, notis peringatan turut dihantar oleh Setiausaha Dewan Rakyat hari ini, bagi mengingatkan semua wakil rakyat agar berwaspada dengan ancaman berkenaan.
Menurut Fahmi, ugutan itu dipercayai berbentuk ‘phishing’ dengan pautan atau kod QR yang mampu membawa kepada serangan malware jika pengguna mengaksesnya.
“E-mel sebegini berpotensi menggodam peranti sasaran sekiranya penerima mengklik pautan atau berhubung dengan scammer tersebut. Semua pihak perlu lebih berhati-hati,” katanya.
Mengulas mengenai keselamatan siber pula, Fahmi menasihatkan orang ramai termasuk wakil rakyat agar menukar kata laluan sekurang-kurangnya sekali setahun.
“Selain itu, penggunaan two-step authentication (dua langkah pengesahan) sangat penting. Ia akan memberi notifikasi sekiranya kata laluan e-mel cuba dimasukkan dalam peranti lain. Ini satu bentuk perlindungan tambahan,” jelasnya.
Beliau berkata, dalam era teknologi digital yang semakin canggih, penjenayah turut memanipulasi platform internet laju dan kecerdasan buatan untuk tujuan jenayah.
Fahmi menambah, oleh itu, semua pihak perlu mengamalkan sikap berwaspada dengan sebarang mesej, hantaran media sosial atau panggilan telefon yang mencurigakan.
Dalam pada itu, beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa juga sedang mendapatkan kerjasama Google untuk mengesan sumber sebenar e-mel berkenaan. – UTUSAN










