SEPANG: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) sudah memulakan usaha menyelenggara pokok-pokok tidak sihat di kawasan liputannya bagi mengelak risiko tumbang jika dilanda ribut.
Yang Dipertuanya, Datuk Abd. Hamid Hussain berkata, pihaknya sudah melantik kontraktor untuk melaksana kerja-kerja selenggara pokok di sekitar Cyberjaya dan beberapa kawasan lain di sekitar daerah ini.
Beliau berkata, dalam kejadian ribut minggu lalu, lebih 50 batang pokok telah tumbang menimpa kenderaan dan kediaman penduduk terutama di Dengkil dan kawasan sekitarnya.
“Justeru, kita akan lihat perkara ini dengan teliti dan jika tiada pilihan kita akan tebang pokok-pokok yang berisiko ini dan jika boleh di selamatkan, ia akan diselenggara.
“Bagaimanapun, tidak semua pokok berkenaan di bawah seliaan MPSepang, ada pokok yang ditanam kawasan tanah persendirian, tanah pemaju, rizab Jabatan Kerja Raya (JKR) dan rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Itu kekangan yang kami hadapi untuk kerja-kerja selenggara pokok ini namun, jika ada pihak memohon untuk mengalihkan dan menebang pokok itu, kami sedia membantu,” katanya ketika ditemui pada majlis tanaman pokok bakau di muara Sungai Sepang Besar, hari ini.
Katanya, pihaknya banyak menerima aduan mengenai pokok yang tidak sihat khususnya di kawasan perumahan dan tepi jalan raya.
Abd. Hamid berkata, pihaknya membelanjakan RM500,000 setiap tahun bagi kerja-kerja selenggara pokok khususnya di taman-taman perumahan dan tepi jalan.
Minggu lalu, lima lokasi masing-masing di Kampung Dato’ Ahmad Razali, Kampung Dato’ Aminuddin, Desa Timah Langat, Cyber Valley dan Taman Mas Dengkil terjejas akibat ribut kuat.
Dalam kejadian sama, sebanyak 18 buah kenderaan dihempap pokok di Cyber Valley malah, beberapa infrastruktur awam termasuk surau, premis perniagaan dan rumah penduduk turut mengalami kerosakan.
Akibat kejadian itu, ramai penduduk setempat mendesak MPSepang supaya memeriksa dan menyelenggara pokok-pokok di kawasan itu bagi mengelak risiko tumbang pada masa akan datang. – UTUSAN










