MHO sambut baik dokumentasi warga asing Sabah

MHO sambut baik dokumentasi warga asing Sabah

MUSA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menyambut baik usaha kerajaan mendokumentasi warga asing di Sabah.

Penasihat MHO, Tan Sri Musa Hassan berkata, langkah itu akan dapat menyelesaikan banyak masalah yang berkaitan terutama mengenai isu keselamatan rakyat Sabah. 

“Dengan pendataan dan pengeluaran kad warga asing ini kami percaya ia boleh dijadikan medium kawalan kerana segala maklumat peribadi dan biometrik mereka akan di rekodkan bagi memudahkan kawalan ke atas golongan ini. 

“Pelaksanaannya juga dapat memupuk dan menegakkan hak-hak kemanusiaan masyarakat di Sabah. 

“Ini juga akan menaikkan nama baik Malaysia di mata masyarakat dunia di samping menjadi contoh yang baik kepada negara-negara lain dalam menangani isu warga asing dan stateless di Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Negeri Sabah membuat kenyataan bahawa mereka bersetuju melaksanakan pengeluaran kad warga asing terlalu lama menetap di Sabah bagi mengatasi isu itu

Sehubungan itu Kementerian Dalam Negeri mengarahkan agar pendataan semula warga asing di negeri Sabah dapat dilaksanakan seawal Mei tahun ini.

Dalam pada itu, Musa berkata, MHO juga mencadangkan warga asing yang diluluskan melalui kad warga asing bukan saja dapat menjadi sumber tenaga kerja di Sabah malah juga boleh menjadi sumber tenaga kerja di negeri- negeri di Semenanjung Malaysia.

“Lumrah sekiranya usaha ini mendapat kritikan pihak yang bakal tidak bersetuju dengan usaha dan pengumuman pihak Kerajaan bersama pihak negeri Sabah tersebut.

“Namun pihak Kerajaan digesa menggunakan saluran undang-undang yang sedia ada, namun MHO bertegas berpendapat bahawa kita perlu memandang isu ini lebih jauh lagi pada masa depan dalam jangka panjang.

“Selain isu ini telah diwarisi dekian lama dan sekiranya tidak ditangani dengan baik akan menimbulkan isu keselamatan yang besar terhadap negeri Sabah,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN