Malaysia terima lagi 500,000 dos vaksin daripada UAE

Malaysia terima lagi 500,000 dos vaksin daripada UAE

PARA pegawai Kedutaan UAE bersama-sama wakil pelbagai kementerian menerima simbolik bekalan vaksin kumpulan kedua di KLIA hari ini. – Foto ihsan Wisma Putra
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia hari ini menerima kumpulan kedua yang melibatkan baki sejumlah 500,000 dos vaksin Covid-19 disumbangkan daripada kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menurut kenyataan Wisma Putra di sini, sumbangan berkenaan disampaikan dalam satu majlis secara ringkas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang yang diserahkan secara simbolik oleh pegawai Kedutaan UAE di Kuala Lumpur kepada wakil dari Kementerian Luar, Kementerian Kesihatan dan juga Kementerian Pertahanan.

Kumpulan pertama vaksin tersebut diserahkan kepada Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah oleh kuasa usaha kedutaan berkenaan di tempat yang sama pada 25 Januari lalu.

Bekalan berkenaan selamat tiba di KLIA terus dari Dubai, UAE kira-kira pukul 2.30 petang dengan dibawa menaiki penerbangan komersial EK 346 pesawat syarikat kebangaan Etihad.

Negara Islam rantau Asia Barat tersebut pernah beberapa kali tampil menyampaikan bekalan perubatan khas kepada Malaysia bagi pengawalan wabak berkenaan sepanjang tahun lepas meliputi sejumlah 20,000 unit alat ujian kendiri pantas pada Mac 2020 disusuli dua bulan kemudiannya membabitkan cecair pembasmi kuman tangan yang seberat tujuh tan.

Bahan pencuci berkenaan, telah pun selesai diagihkan kepada kesemua diplomat Wisma Putra termasuk petugas barisan hadapan di pejabat misi perwakilan Malaysia di seluruh dunia.

“Malaysia merakamkan penghargaan tinggi kepada UAE atas sumbangan vaksin itu yang secara signifikan membantu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” kata Wisma Putra.

Sumbangan berkenaan ujarnya, turut menggambarkan hubungan kukuh antara kedua-dua negara dalam kerjasama bidang diplomasi kesihatan yang melibatkan isu bekalan vaksin.

Hubungan Malaysia dengan UAE mula rapat apabila negara ini membuka kedutaannya di ibu kota Abu Dhabi pada 1983 dan diikuti pentauliahan rasmi duta residen pada tahun 2000 lalu.

Selain Pertubuhan Bangsa Bersatu, kedua-dua negara itu merupakan anggota dalam Pertubuhan Kerjasama Islam, Pergerakan Negara Berkecuali dan Persatuan Lingkaran Lautan Hindi.  UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN