PUTRAJAYA: Malaysia dan Brunei hari ini bersetuju melaksanakan Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) udara bagi pergerakan rentas sempadan antara kedua-dua negara dengan pelaksanaan empat penerbangan seminggu antara Kuala Lumpur-Bandar Seri Begawan.
Perkara itu antara dicapai melalui perbincangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah semasa pertemuan kedua-dua pemimpin itu di negara berkenaan.
Kata Perdana Menteri, bagi tujuan pelaksanaan inisiatif VTL itu, kementerian-kementerian berkaitan akan meneliti prosedur operasi standard (SOP) berkaitan.
“VTL bagi pergerakan rentas sempadan darat juga dalam pertimbangan kedua-dua pihak.
“Brunei juga bersetuju mengiktiraf MySejahtera dan BruHealth bagi memudahkan integrasi sistem dan penggunaan rakyat kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.
Selain inisiatif pelaksanaan VTL itu, banyak perkara lain turut dibincangkan bersama dalam rangka lawatan pertama Perdana Menteri ke negara berkenaan yang berlangsung dengan baik dan sempurna.
Kata beliau, turut disentuh ialah usaha dan inisiatif bagi meningkatkan hubungan istimewa ke satu tahap lebih tinggi dan komprehensif, kerjasama ekonomi termasuk perdagangan dan pelaburan.
Perdana Menteri memberitahu, beliau menjemput Kerajaan Brunei untuk sama-sama terlibat dalam pembangunan dan penyelidikan (R&D) bagi penghasilan vaksin Covid-19.
Buat permulaan, kata beliau, Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) bersedia bekerjasama dengan pakar-pakar dari Universiti Brunei Darussalam dalam penyelidikan Antibody Response to Covid-19 Vaccines.
“Kami juga berbincang mengenai Lebuh Raya Trans-Borneo Malaysia-Brunei termasuk menaik taraf dan membina semula laluan jajaran dari persimpangan Kuala Baram di Miri ke CIQ Sungai Tujoh di Kuala Belit, Brunei sepanjang 5 kilometer yang dijangka bermula pada 2023.
“Ini termasuk pembinaan jalan baharu dan naik taraf jalan sedia ada sepanjang 74 kilometer melalui Limbang dan Lawas dalam proses mereka bentuk serta mengambil balik tanah yang dijangka siap dalam masa 48 bulan,” katanya.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Bersama Persempadanan Darat yang dipersetujui pada 2011 di peringkat pegawai kanan diadakan pada kadar segera.
Kedua-dua pemimpin turut berbincang mengenai isu serantau, seperti situasi di Myanmar dan di Laut China Selatan. –UTUSAN