GEORGETOWN: Liputan Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) dalam kalangan kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di Pulau Pinang adalah pada kadar 25.7 peratus setakat semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar serta Kesihatan negeri, Dr. Norlela Ariffin berkata, kadar itu meletakkan Pulau Pinang di kedudukan ketiga tertinggi dalam jumlah penerima vaksinasi kanak-kanak di Malaysia.
Katanya, kadar PICKids semakin meningkat setiap hari menunjukkan ibu bapa sedar akan kepentingan melindungi kanak-kanak mereka daripada Covid-19.
“Ini terbukti apabila lebih 300 ibu bapa dari Seberang Perai Tengah (SPT) terlibat dalam Sesi Libat Urus PICKids anjuran pejabat saya minggu lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Suntikan vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak yang berusia lima sehingga 11 tahun bermula bulan ini, sejurus selepas ketibaan vaksin Pfizer (kanak-kanak) 31 Januari lalu.
Bagi peringkat Pulau Pinang, PICKids untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun bermula 7 Februari lalu.
Menurut Norlela, kesedaran ibu bapa mengenai keperluan vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak adalah penting kerana dapat menyelamatkan nyawa anak-anak.
”Sehingga awal Februari ini, seramai 147,282 (10.1 peratus) kanak-kanak di Malaysia dijangkiti virus Covid-19 manakala 26 daripada kes berakhir dengan kematian,” katanya.
Dalam pada itu tambah beliau, hampir semua orang dewasa di Pulau Pinang sekurang-kurangnya diberi vaksin sepenuhnya dan hampir 70 peratus dos penggalak selesai.
“Bagaimanapun, dengan kurang satu peratus daripada populasi tidak diberi vaksin, majoriti kematian masih daripada kumpulan ini,” katanya. –UTUSAN