Majikan manipulasi pembantu rumah asing disenarai hitam

Majikan manipulasi pembantu rumah asing disenarai hitam

Indonesia membuat kejutan menghentikan proses menghantar kemasukan pekerjanya ke Malaysia. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Majikan yang dikenal pasti menidakkan hak sebagai pekerja dan kebajikan  Pembantu Rumah Asing (PRA) sebagai pekerja akan disenarai hitam sekali gus tidak dapat menggajikan golongan tersebut  pada masa akan datang.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang didapati mengambil kesempatan ke atas PRA mereka. 

Malah, katanya, majikan yang dikenal pasti terlibat dalam menidakkan hak-hak PRA sebagai pekerja seperti tidak membayar gaji dan mengambil kesempatan ke atas PRA akan disenarai hitam dan tidak dapat menggajikan PRA lagi pada masa akan datang.

“Sungguhpun PRA dikategorikan sebagai pekerja dalam sektor tidak formal, mereka juga mempunyai hak sebagai pekerja dan kebajikan mereka wajar dijaga dengan baik. Malah, kontrak pekerjaan PRA juga turut menggariskan tanggungjawab majikan yang menggajikan mereka.

“Kejadian kes-kes penganiayaan terhadap PRA sungguhpun terpencil namun ia menjejaskan imej dan nama baik negara. 

“Contoh terbaharu adalah laporan dalam satu portal media yang menyatakan seorang PRA warga Indonesia tidak dibayar gaji meskipun telah berkhidmat selama 12 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Saravanan berkata, perkara ini juga turut menjejaskan usaha kerajaan dalam memuktamadkan Memorandum Persefahaman Penggajian PRA dengan negara sumber seperti Indonesia dan Kemboja.

“Isu sebegini jugalah yang menyebabkan MoU dengan  Republik Indonesia tertangguh dan tidak diperbaharui sejak tahun 2016.

“Bagi menangani isu-isu sebegini, kementerian saya dan Kementerian Dalam Negeri juga akan terus bekerjasama rapat menerusi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia termasuk Sabah serta Sarawak dan Jabatan Imigresen,” katanya. 

Tambahnya, sehingga 31 Januari 2022, jumlah keseluruhan pekerja warga asing adalah sebanyak 1,157,481 orang di mana jumlah PRA adalah 86,084 orang. 

“Majoriti PRA adalah dari Indonesia (59,605) diikuti dengan Filipina (22,803), Vietnam (1,031), Kemboja (976) dan lain-lain,” katanya.  UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN