IPOH: Majlis Agama Islam Perak (MAIPk) hari ini memberikan bantuan segera kepada keluarga seorang wanita yang meluah rasa kecewa dalam media sosial kerana permohonan untuk mendapatkan bantuan daripada agensi kerajaan untuk ibunya yang sakit, tidak berjaya.
Dalam kenyataannya, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Shahrul Azam Shaari berkata, bantuan yang diberikan itu berjumlah RM300 disampaikan oleh Pegawai Baitulmal Daerah Hilir Perak kepada keluarga wanita itu di Teluk Intan hari ini.
“Selanjutnya bantuan bulanan serta bantuan kepada ibu pengadu yang sakit terlantar akan diberikan setelah diluluskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Baitulmal Darah Hilir Perak,” katanya.
Menurut Shahrul Azam, wanita itu, Diwiyana Mohammed sebelum ini menetap di Cheras, Kuala Lumpur dan telah berpindah dan tinggal di rumah ibu mentuanya di Teluk Intan sejak 2019.
Beliau berkata, pada 3 Februari lalu, Pejabat MAIPK Daerah Hilir Perak telah menerima permohonan bantuan daripada suami wanita itu.
“Permohonan bantuan bulanan tersebut telah diproses dan tindakan awalan bantuan segera wang tunai RM300 telah disampaikan serta merta kepada keluarga itu hari ini,” katanya.
Semalam, tular rakaman video di aplikasi TikTok seorang wanita meluah rasa kecewa kerana permohonan untuk mendapatkan bantuan untuk ibunya yang terlantar akibat angin ahmar, tidak berjaya.
Wanita itu mendakwa telah membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan melalui dua agensi sebanyak dua kali namun tidak berjaya. – UTUSAN ONLINE