Lori hentam empat kereta akibat brek rosak - Utusan Malaysia

Lori hentam empat kereta akibat brek rosak

TANGKAP layar rakaman video sebuah lori melanggar empat kereta selepas breknya gagal berfungsi di KM 23 Jalan Klang - Banting - Port Dickson dekat persimpangan Kampung Jenjarom di Kuala Langat, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Brek rosak punca sebuah lori tidak dapat berhenti di persimpangan lampu isyarat dekat Jenjarom di sini sebelum melanggar empat kereta dalam satu kejadian kira-kira pukul 12.10 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, lori terbabit datang dari arah Banting menuju ke Klang sebelum terlibat dalam kemalangan di kilometer (km) 23 Jalan Klang- Banting- Port Dickson.

“Siasatan lanjut dibuat mendapati kejadian berlaku apabila lori itu dari Banting ke Klang. Lori tersebut dipercayai mengalami masalah brek tidak berfungsi ketika itu lalu mengelak ke kanan terlanggar empat buah kenderaan yang sedang berhenti.

“Lori itu berjaya dihentikan selepas persimpangan lampu isyarat berkenaan menghala ke Kampung Jenjarom,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu tular satu rakaman video dalam media sosial dikongsikan oleh seorang pemandu ketika berada di tempat kejadian.

Menerusi video berdurasi 1 minit 38 saat itu, lori berkenaan dilihat menghentam empat kereta yang sedang berhenti ketika lampu isyarat merah.

Jelas Ahmad Ridhwan, walau bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan dan kelima-lima pemandu terlibat sudah pun tampil membuat laporan polis.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, beliau turut saksi bebas atau yang berada ditempat kejadian untuk tampil memberikan maklumat kepada polis.

“Saksi boleh menghubungi mana-mana Balai Polis yang berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Nur Hayati Mohd. Zubel di talian 013-6444350 atau 03-31872222,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN