PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam dua serbuan ke atas sebuah stesen minyak dan kawasan tapak pembinaan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM178,347.85.
Serbuan melibatkan sembilan anggota penguat kuasa KPDNHEP itu bermula pukul 9 pagi semalam ke atas stesen minyak di Jalan Pintasan Dengkil – Putrajaya dan sebuah kawasan tapak pembinaan terletak bersebelahannya yang disyaki menjalankan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi.
Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, ketika serbuan dilakukan ke atas stesen minyak tersebut, terdapat sebuah lori yang diubah suai sedang mengisi minyak diesel bersubsidi di salah sebuah pam stesen minyak berkenaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, minyak diesel yang diisi ke dalam tangki yang diubah suai pada lori tersebut disyaki disambungkan atau disalurkan terus ke sebuah tangki di kawasan tapak pembinaan melalui saluran separa kekal bawah tanah, menghubungkan antara tangki lori itu kepada sebuah tangki lain. Susulan itu, pasukan serbuan mengambil tindakan dengan menyita sejumlah 64,400 liter minyak diesel dari dua tangki masing-masing terletak dalam bawah tanah di stesen minyak tersebut dan sebuah lagi di dalam kawasan tapak pembinaan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, selain itu, sitaan turut melibatkan sebuah lori berkapasiti empat tan, saluran paip getah, sebuah compressor, satu set dekoder kamera litar tertutup (CCTV) dan invois/resit jualan berserta dokumen perniagaan yang lain bagi tujuan siasatan lanjut.
Katanya, dua individu lelaki warga tempatan masing-masing berusia 35 tahun yang mengaku sebagai pengurus dan penyelia tapak pembinaan berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, Azman berkata, kertas siasatan dibuka dan siasatan lanjut akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti rantaian pengedaran minyak diesel tersebut bermula dari stesen minyak ke tapak pembinaan seterusnya ke peringkat pembeli.
“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3 juta. Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen berkaitan barang kawalan oleh syarikat yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya.
Beliau berkata, syarikat itu akan disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2011) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan barang kawalan bersubsidi terutamanya berkaitan minyak diesel ini.
Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi. – UTUSAN