Kontraktor dewan makan sekolah berasrama tenat - Utusan Malaysia

Kontraktor dewan makan sekolah berasrama tenat

MOHD. ZAYAD ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kedah menyeru agar Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan segera menangani isu kontraktor dewan makan sekolah berasrama yang semakin tenat kerana pelbagai masalah yang terpaksa ditanggung mereka sebelum ini.

Yang Dipertua DPMM Kedah, Datuk Mohd. Zayad Md. Ismail berkata, kementerian terbabit perlu mengambil langkah membuat penilaian ke atas kerugian yang terpaksa ditanggung oleh semua sektor makanan bermasak sekolah berasrama di seluruh negara.

Menurutnya, kontraktor dewan makan terpaksa menanggung kerugian tersebut akibat daripada beberapa arahan terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan.

“Kontraktor dewan makan sekolah berasrama contohnya berdepan kekangan khususnya selepas Kementerian Pendidikan memutuskan pelajar bukan dari kelas peperiksaan tidak dibenarkan kembali ke asrama selepas cuti Tahun Baharu Cina dan murid di sekolah berasrama penuh pula hanya sebahagian kecil dibenarkan masuk ke asrama.

“Walaupun memahami keperluan arahan tersebut tetapi langkah ini juga menjejaskan perniagaan mereka. Pengumuman secara tiba-tiba ini menyebabkan kerugian bagi yang membeli stok bahan mentah lebih awal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, pengurangan bilangan pelajar amat memberi kesan terutama pada tuntutan anggaran bayaran yang terpaksa dikurangkan oleh pengusaha berkenaan.

“Pada masa sama, pihak sekolah mendesak supaya mengekalkan bilangan pekerja seperti dinyatakan dalam kontrak, malah ada kontraktor didenda oleh pihak sekolah atas alasan pelanggaran kontrak,” jelasnya.

Tambah beliau, lantaran kerugian yang berterusan, ramai kontraktor yang kehabisan modal untuk meneruskan perniagaan malah ada yang terpaksa menghantar notis penamatan kontrak walaupun terpaksa kehilangan deposit.

“Sehingga kini tiada sebarang kenyataan daripada kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan mengenai bantuan yang akan diberikan kepada kontaktor dewan makan tersebut.

“Cadangan lain dari kami agar pihak kementerian terlibat dan pengurusan sekolah perlu mengambil kira kaedah pembayaran mengikut kadar semasa bilangan pelajar dengan harga sewajarnya,” katanya.

Jelasnya, selain itu kos pembayaran gaji pekerja dalam tempoh penutupan sekolah ataupun pengurangan pelajar wajar ditanggung oleh Kementerian Pendidikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN