PASIR GUDANG: Barisan Nasional (BN) menafikan berlakunya perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pengumuman calon gabungan itu mengambil masa kerana BN cukup teliti dalam soal pemilihan calon yang tepat untuk mewakili parti.
Katanya, BN akan mengumumkan kesemua nama calon membabitkan kesemua parti komponennya pada Rabu ini.
“Kita teliti dalam soal pemilihan calon membabitkan calon dari UMNO, MIC dan MCA dan akan umumkan bila tiba masanya. Tak timbul isu perebutan kerusi pada PRN Johor ini. Kita bukan seperti parti di sebelah sana (Muda dan PKR) yang tengah berebut kerusi dan mungkin akan berlaku pertindihan.
“Sekarang ini, kita benarkan mereka bergaduh. Namun bila sampai masa nama calon diumumkan, kita pastikan sokongan kuat diberikan,” katanya selepas menerima kemasukan kira-kira 50 bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Cawangan Tasek 64 di Bilik Gerakan Jalan Tasek 21, Bandar Seri Alam di sini.
Diminta mengulas mengenai tindakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengata UMNO baru-baru ini, Mohamed Khaled enggan memberi sebarang reaksi memandangkan bekas Perdana Menteri itu kelihatan tertekan ketika ini.
“Ketika Muhyiddin berkata ‘poodah’ kepada UMNO baru-baru ini, Bersatu di Pasir Gudang pula yang semakin goyah, rapuh dan lemah.
“Hari ini saya menyaksikan ketua cawangan Bersatu Tasek 64 bersama ahli jawatankuasa dan ahlinya keluar parti dalam masa sama diserahkan 343 permohonan menjadi ahli UMNO Pasir Gudang yang sudah pastinya akan memperkukuh dan menambah kekuatan UMNO,” katanya.
Katanya, keputusan mereka itu jelas bersandarkan keyakinan bahawa hanya UMNO sahaja mampu membela kepentingan orang Melayu dan memberi kestabilan kepada negeri serta negara.
“Mereka bertekad untuk membantu BN dan membuktikan bahawa PH dan PN adalah parti gagal,” katanya. – UTUSAN