Kerajaan pastikan ekonomi pulih walaupun kes Covid-19 tinggi

Kerajaan pastikan ekonomi pulih walaupun kes Covid-19 tinggi

MOHAMED Azmin Ali (dua dari kanan) melawat sebuah kilang yang memproses keropok lekor di Kulai, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Kerajaan akan mengambil langkah proaktif bagi memastikan proses pemulihan ekonomi negara dapat dilaksanakan walaupun terdapat peningkatan kes baharu Covid-19 dalam negara ketika ini.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, antara langkah yang hendak dilaksana adalah cadangan pembukaan sempadan antarabangsa pada 1 Mac ini yang sebelum ini disyorkan Majlis Pemulihan Negara (MPN).

“Kita harus ambil pendekatan yang bertangungjawab iaitu bukan sahaja menangani penularan Covid-19, tetapi juga memperkenalkan langkah bagi memastikan ekonomi negara dapat dipulihkan.

“Ini termasuk cadangan pembukaan sempadan negara dalam masa terdekat bagi membolehkan rantaian bekalan dan rantaian nilai global tidak terganggu kerana Malaysia antara negara yang aktif dalam rantaian global ini,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat syarikat memproses keropok lekor di sini hari ini.

Tambah Mohamed Azmin, pihaknya percaya Kementerian Kesihatan mampu mengawal peningkatan kes Covid-19 ketika ini berdasarkan pengalaman sejak dua tahun lalu.

“Hal ini turut dibuktikan dengan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula Februari tahun lalu serta pengambilan dos penggalak ketika ini. Langkah ini telah berjaya memberi kesan positif sekali gus menyaksikan Malaysia muncul sebagai antara negara terbaik dalam menjayakan program vaksinasi.

“Kita juga lihat sistem kesihatan awam negara ketika ini terkawal, penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) juga rendah berbanding apa yang berlaku dua tahun lalu,” ujarnya.

Sementara itu, dalam program tersebut, beliau berkata, SIRIM telah berjaya membantu seramai 30 pengusaha mikro dan industri kecil dan sederhana (IKS) yang terjejas akibat pandemik Covid-19 sejak Ogos lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN