Kebakaran Pulau Burung: Hanya penduduk Ladang Byram belum dibenarkan pulang ke rumah  - Utusan Malaysia

Kebakaran Pulau Burung: Hanya penduduk Ladang Byram belum dibenarkan pulang ke rumah 

SEBAHAGIAN daripada kira-kira 400 penduduk yang terjejas akibat kebakaran tapak pelupusan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal, Pulau Pinang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bermula hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Sebahagian daripada kira-kira 400 penduduk yang terjejas akibat kebakaran tapak pelupusan sampah di Pulau Burung sejak 12 Januari lalu dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bermula hari ini. 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas cerapan terkini dan ulasan teknikal daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri yang mendapati kualiti udara di sekitar kawasan Kampung Kebun Baru terutamanya kini semakin baik. 

“Bagaimanapun, penduduk di Ladang Byram dinasihatkan untuk tidak kembali ke rumah buat masa ini. 

“Ini kerana pemantauan lanjut masih diteruskan oleh pihak JAS sehingga bacaan kualiti udara yang stabil diperoleh,” katanya. 

Dalam pada itu, jawatan kuasa tersebut turut menasihatkan penduduk di sekitar SPS supaya sentiasa peka dengan kesihatan diri. 

“Sekiranya didapati mempunyai gejala seperti sesak nafas dan tidak sihat, mereka dinasihatkan supaya terus mendapatkan rawatan di mana-mana klinik atau hospital berhampiran,” ujarnya. 

Pada 1 Februari lalu, tapak pelupusan sampah Pulau Burung berjaya dipadamkan sepenuhnya selepas usaha-usaha memadamkan kebakaran berlangsung selama kira-kira 20 hari. 

Tapak pelupusan sampah itu dikesan mula terbakar petang 12 Januari lalu melibatkan keluasan kira-kira 11.3 hektar dan diisytiharkan sebagai kawasan bencana Tahap 1 berdasarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ekoran itu, kira-kira 400 penduduk daripada 86 keluarga di kawasan sekitar iaitu Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru diarahkan berpindah sementara berikutan kualiti udara yang tercemar dan ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah dan di SK Bakap Indah.   

Kejadian itu juga menyebabkan sebanyak 10 buah sekolah berdekatan diarahkan ditutup selama tiga hari berikutan indeks udara menunjukkan kepekatan yang boleh memberi kesan kepada kesihatan dan mengancam nyawa.  – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN