Kamarulzaman pulih daripada koma di Korea Selatan akan pulang ke tanah air - Utusan Malaysia

Kamarulzaman pulih daripada koma di Korea Selatan akan pulang ke tanah air

KAMARULZAMAN Mohd. Fauzi (kiri) dan Wan Hayati Wan Yaakub sebelum pergi bekerja di Korea Selatan di Kampung Batu Balai di Jerantut, Pahang. - FOTO/IHSAN AHLI KELUARGA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Rakyat negara ini yang koma dan mengalami strok serta menerima rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Chungbuk, Cheongju, Korea Selatan, Kamarulzaman Mohd. Fauzi @Jazuli, 50, akan pulang ke Malaysia dalam masa terdekat kerana telah pulih daripada koma.

Khabar gembira itu dikongsi kepada pemberita oleh isteri Kamarulzaman, Wan Hayati Wan Yaakub, 53, di Kampung Batu Balai di sini hari ini.

Menurutnya, sepupu Kamarulzaman, Saloha Adlan, 27, yang turut bekerja di Korea Selatan memaklumkan suaminya kini sudah stabil dan pihak hospital membenarkan dia dibawa pulang ke negara ini dengan segera.

“Kami sekeluarga di sini amat gembira menerima khabar ini dan berdoa dengan harapan segala proses untuk membawa balik Kamarulzaman berjalan lancar. Saya dan ahli keluarga sudah tidak sabar menanti kepulangan Kamarulzaman kerana dia dirawat di hospital berkenaan selama 34 hari sehingga kini termasuk  23 hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Universiti Kebangsaan Chungbuk,” katanya di Kampung Batu Balai di sini hari ini.

Menurut Wan Hayati, dia bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana suaminya  semakin pulih bagi membolehkan dia dibawa pulang dan dapat meneruskan rawatan di hospital di negara ini.

Jelasnya, Saloha yang menjaga Kamarulzaman di Korea Selatan akan menguruskan segala keperluan dan urusan membawa balik suaminya ke sini.

Kamaruzaman yang bekerja sebagai operator di sebuah kilang tisu di negara itu koma selepas muntah dan pengsan disebabkan pembuluh darah pecah selain terdapat darah beku di bahagian kepala di rumah sewanya.

Sementara itu, Saloha ketika dihubungi mengesahkan dia sedang berusaha untuk melengkapkan proses membawa pulang sepupunya ke tanah air.

“Saya sudah memperoleh surat kedutaan walaupun mengambil sedikit masa dan baharu sahaja mendapat tiket penerbangan Korean Air sekiranya tidak ada masalah lain, Kamarulzaman dijangka pulang pada 2 Mac ini. Bagaimanapun, saya perlu membayar untuk tujuh tempat duduk dalam pesawat Korean Air dalam usaha membawanya pulang ke tanahair,” katanya.

Selanjutnya Saloha menjelaskan sepupunya sudah stabil dan doktor di hospital itu mengesahkan dia kini cuma  mengalami strok sebelah kanan badan.

“Sebelum ini, doktor bercadang melakukan pembedahan di tekak untuk melancarkan pernafasan, tetapi dibatalkan kerana apabila tiub pernafasan di mulut dibuka, dia terus boleh bernafas dengan sendiri tanpa bantuan alat bantuan. Dia perlu dibawa pulang ke Malaysia segera bagi mengelakkan bayaran bil hospital yang tinggi yang dikenakan bagi rakyat asing di sini,” jelasnya.

Jelasnya, Saloha berkata, sumbangan dari orang ramai sehingga kini telah digunakan untuk membayar bil hospital tersebut sebanyak RM55,000, namun masih tertunggak RM66,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN