JOHOR BAHRU: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak seharusnya menjadi medan ujian khususnya buat parti politik baharu yang hadir tanpa mempunyai sebarang agenda yang konkrit untuk rakyat negeri ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hal itu kerana penglibatan terlalu banyak parti baharu yang hanya sekadar mahu menguji kekuatan akan mengganggu proses demokrasi.
“Johor nampaknya telah jadi gelanggang untuk pelbagai parti politik berentap dalam politik Malaysia yang telah sangat disrupted. Banyak pemain baharu bertanding. Parti Warisan Sabah, Parti Bangsa Malaysia, Parti Pejuang Tanah Air dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) semuanya ingin menjadikan Johor sebagai medan menguji pasaran.
“Semua hadir tanpa ‘projek’ yang konkrit untuk Johor. Namun PRN Johor bukan medan ujian. Bukan arena untuk mengukur penerimaan dan kebolehpasaran parti politik.
“Sebaliknya ia adalah landasan untuk membina masa depan. Tanpa agenda yang konkrit, kehadiran mereka sekadar memeriahkan demokrasi,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Hari ini, proses penamaan calon bagi PRN Johor berlangsung dengan lancar dengan menyaksikan pertembungan sehingga tujuh penjuru di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Tambah bekas Menteri Besar Johor itu, demokrasi tidak perlukan kemeriahan sedemikian sebaliknya ia adalah sistem yang memerlukan strategi rapi, penonjolan projek politik yang meyakinkan dan pembaharuan yang sistematik.
“Kepada rakyat Johor, pilihlah agenda dan projek politik yang konkrit, bukan sekadar usia dan jenama yang ‘seksi’.
“Jangan terpedaya dengan janji sekadar halwa telinga. Ramai yang masih ingat bagaimana Pakatan Harapan (PH) hadir dengan ‘Projek Malaysia Baru’ namun setelah 22 bulan, ia jadi projek politik yang gagal,” ujarnya.
Sehubungan itu beliau menegaskan Johor tidak memerlukan jenama seperti Johor Bangkit atau ‘RESET Johor’ atau pelbagai lagi, apatah lagi dengan pemisahan aspirasi golongan muda dan berusia.
“Malaysia perlukan aspirasi bersama di sertakan dengan ‘consolidated strategy’ yang boleh menjadikan ia lebih baik, sesuai landasan yang telah dibina. Aspirasi yang mengumpulkan yang muda dan tua, yang kaya dan miskin serta pelbagai bangsa dan agama.
Semuanya bersama demi sebuah kestabilan dan menjayakan Johor yang lebih baik, yang pasti Barisan Nasional (BN) punya ramuan dan pengalaman untuk Johor yang lebih baik. Insya-Allah Johor lebih baik hanya dengan BN,” jelasnya. UTUSAN