Jentera Barisan Nasional jangan tabur fitnah, lakukan serangan peribadi

PRN Johor: Jentera Barisan Nasional diingatkan elak tabur fitnah, lakukan serangan peribadi

BUNG Moktar Radin (kiri) bersama Mohamed Khaled (tiga kanan) bersama calon BN DUN Permas Baharudin Mohd. Taib (dua kanan) semasa berada di pusat penamaan calon di Pasir Gudang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Jentera Barisan Nasional (BN) diingatkan agar tidak terikut-ikut budaya kempen parti lawan yang lebih banyak menabur fitnah dan melakukan serangan peribadi.

Pendekatan kempen sebegitu yang membawa kepada kekalahan BN semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kerana rakyat mudah terpengaruh.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ternyata selama 22 bulan Pakatan Harapan memerintah, rakyat mula berfikir bahawa fitnah yang ditabur hanya senjata untuk meracuni pemikiran rakyat dan manifesto yang dijanjikan gagal dilaksanakan.

Situasi itu menyebabkan politik menjadi kucar kacir dan ekonomi negara semakin terjejas.

Justeru itu katanya, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, BN perlu berkempen secara berhemah serta berfakta bagi mengelak penyampaian yang tidak digemari oleh pengundi.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, semua jentera BN harus berkempen dengan bijaksana berdasarkan maklumat yang tepat serta betul dan jangan sesekali menabur fitnah.

“Jentera  BN mesti bertindak secara bijaksana dan wajar mempelbagaikan pendekatan serta strategi bagi menghadapi pengundi Johor yang berbeza sikap dan pemikiran.

“Keadaan semasa mencabar dan situasi tidak sama maka, BN mesti bekerja luar daripada kebiasaan dalam menghadapi PRN pada kali ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau turut mengiringi calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Baharudin Mohd. Taib ke pusat penamaan calon di stadium tertutup semalam.

Hadir sama ialah Naib Presiden UMNO, yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, Datuk Mohamed Khaled Nordin.

Bung Moktar, yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, jentera komunikasi dan penerangan UMNO/BN menggalas tanggungjawab besar untuk memahami latar belakang serta sikap pengundi di Johor.

Beliau mengetuai 400 orang jentera parti daripada Sabah untuk membantu berkempen di empat kawasan DUN iaitu DUN Tiram, Puteri Wangsa, Permas dan Johor Jaya.

Mengulas lanjut katanya, biarpun BN berhadapan dengan cabaran untuk memenangi kawasan tersebut susulan kekalahan pada PRU14 namun, itu tidak akan melemahkan semangat jentera BN untuk memastikan kawasan itu akan kembali semua menjadi milik BN.

“Saya percaya BN akan digemari pengundi sekiranya maklumat dan kaedah kempen yang disampaikan dengan cara betul. Semua ini penting kerana rakyat dan pengundi pada PRN Johor akan menilai BN,” katanya. UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya