JAS Pulau Pinang denda pemilik premis bakar sisa kayu secara terbuka 

JAS Pulau Pinang denda pemilik premis bakar sisa kayu secara terbuka 

SEORANG pemilik premis didenda sebanyak RM2,000 kerana melakukan pembakaran sisa kayu secara terbuka di tapak tanah kosong di kawasan Perindustrian Bukit Minyak, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Seorang pemilik premis di kawasan Perindustrian Bukit Minyak di sini didenda RM2,000 oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang selepas didapati melakukan pembakaran sisa kayu secara terbuka di tapak tanah kosong. 

Tindakan itu diambil di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 selepas aktiviti tersebut dikesan penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang yang sedang menjalankan pemantauan pencemaran dan siasatan terhadap aduan pembakaran terbuka yang diterima. 

Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, selain mengeluarkan kompaun, pihaknya turut mengarahkan pekerja premis berkenaan segera memadamkan kebakaran itu. 

“Arahan lapangan (field citation) dan risalah berkaitan larangan pembakaran terbuka juga telah diberikan kepada wakil premis pada masa tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Jelas Sharifah Zakiah, rondaan dan pemantauan berkaitan turut dijalankan di beberapa kawasan lain termasuk Permatang Sireh; Permatang Buloh; Sungai Lokan; Ampang Jajar; Permatang Pauh dan sebagainya. 

Bagaimanapun katanya, tiada sebarang pembakaran terbuka dikesan sepanjang laluan rondaan itu dilakukan. 

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pihak industri supaya sentiasa patuh kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya. 

“Pada masa sama, orang ramai juga dinasihatkan menghentikan amalan pembakaran terbuka bagi menjaga kualiti udara persekitaran kerana ia merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. 

“Sabit kesalahan, kompaun sebanyak RM2,000 boleh dikenakan bagi setiap longgokan pembakaran selain denda maksima sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN