JOHOR BAHRU: Ahli politik tidak seharusnya menggunakan institusi persekolahan dan pendidikan negara sebagai bahan kempen politik dalam usaha untuk memancing undi masyarakat sewaktu pilihan raya.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, tindakan itu bukan sahaja tidak beretika malah turut mencemar institusi persekolahan yang seharusnya menjadi tempat generasi muda belajar.
Beliau berkata, apa yang perlu dilakukan kerajaan adalah usaha transformasi sistem pendidikan negara ke arah era digitalisasi.
“Saya harap ahli politik tidak politikkan isu pendidikan, jangan masuk sekolah untuk buat ucapan politik dan memancing undi kerana itu satu tindakan yang tidak beretika.
“Apa yang kita perlu lakukan adalah mereformasi institusi berkenaan ke arah sektor digitalisasi selain turut juga membaiki kemudahan di sekolah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Bekas Menteri Kewangan itu berkata demikian dipercayai sebagai mengulas tindakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengadakan lawatan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Foon Yew di bandar raya ini.

Sementara itu, calon DAP bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai, Marina Ibrahim pula berkata, pihaknya akan menyantuni lebih ramai pengundi baharu khususnya golongan muda untuk didedahkan proses pengundian dalam pilihan raya.
Menurutnya, berdasarkan lawatan yang dibuat, didapati masih ramai pengundi khususnya yang berusia belasan tahun tidak sedar mereka layak mengundi dan tidak tahu lokasi pengundian mereka.
“Ada diantara mereka sama ada tidak peka atau tidak terima maklumat berhubung undi 18 tahun, jadi kita perlu galakkan lagi supaya mereka sedar akan hak dan tanggungjawab mereka,” jelasnya. –UTUSAN