Jangan cepat serah harta buat anak, elak hidup merempat - Utusan Malaysia

Jangan cepat serah harta buat anak, elak hidup merempat

Datuk Ikbal Salam minta ibu bapa tidak cepat serah harta kepada anak-anak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ibu bapa diingatkan tidak cepat memindah milikan harta kepada anak-anak walaupun atas dasar kasih sayang kerana dikhuatiri mereka bakal merempat di jalanan selepas anak-anak berpaling tadah.

Peringatan tersebut berasas kerana berlaku kes anak-anak yang mendapat habuan akhirnya menghalau ibu bapa mereka sedangkan sebelum ini berjanji untuk menjaga dan menyara kehidupan warga emas itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam syarie Datuk Ikbal Salam berkata, pro­ses pindah milik harta yang sempurna mengikut Seksyen 340 Kanun Tanah Negara tidak boleh disangkal sekiranya pemilikan telah bertukar daripada kepunyaan ibu bapa kepada anak-anak.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut beliau, meskipun ibu bapa bersusah payah me­ngumpul harta namun pada akhirnya kepunyaan mereka hilang sekelip mata selepas membuat pindah milik kepada anak-anak.

“Sekali pun anak-anak berjanji akan menjaga ibu bapa sebelum menerima harta, tetapi akhirnya kata-kata manis itu hilang begitu sahaja setelah rambang mata mendapat habuan harta. Akhirnya ibu bapa dihalau begitu sahaja setelah anak-anak tidak sanggup menjaga mereka yang sudah tua.

“Kes ini banyak terjadi apabila ibu bapa pindah milik harta kepada anak atas dasar kasih sayang walaupun anak-anak berjanji menjaga. Tetapi setelah tidak sanggup memelihara ibu bapa yang uzur, akhir­nya dihalau seperti mana kes warga emas terpaksa berteduh di tepi jalan dan sebagainya,” katanya.

Justeru, Ikbal meminta ibu bapa agar tidak sewenang-wenangnya memindahkan milik harta sebaliknya mereka perlu mengambil pendekatan digariskan Islam yang lebih menjamin masa depan mereka.

Katanya, soal tersebut termasuk mekanisme wasiat, faraid dan hibah yang menggariskan panduan pemilikan harta kepada anak-anak sama ada ketika masih hidup atau meninggal dunia.

“Antara yang paling praktikal dan bermanfaat bagi umat Islam adalah instrumen hibah kerana hibah adalah sebuah kontrak sukarela kasih sayang yang membenarkan pembatalan hibah dibuat oleh ibu bapa berbanding pindah milik melalui Seksyen 340 Kanun Tanah Negara yang hanya boleh dibatalkan terhad kepada tiga senario iaitu salahnyataan, pemalsuan dan penipuan,” katanya.

Ikbal menambah, maka itulah hibah lebih sesuai kerana ia boleh dimuktamadkan di samping wujud elemen ditarik balik sekiranya ibu bapa berpandangan anak tersebut gagal menunaikan tanggungjawab atau dengan kata lain menjadi anak derhaka mungkin akibat pengaruh pasangan.

“Ibu bapa juga diberi ruang dalam Syarak untuk membatalkan hibah kerana hibah menetapkan rukun-rukun dan syarat-syarat hibah telah disempurnakan namun tidak mensyaratkan pendaftaran fizikal nama dalam dokumen hakmilik menurut Kanun Tanah Negara,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ikbal menambah, sudah tiba masanya untuk instrumen perancangan harta yang diharuskan Syarak diamalkan umat Islam sebagai manifestasi kehidupan harian.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×