LUMUT: Jabatan Perikanan belum berhasrat membenarkan nelayan memukat ikan bilis di kawasan pesisiran pantai atau kurang satu batu nautika dari pantai, sebagai usaha melindungi dan memulihara sumber marin pada masa depan.
Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan), Sufian Sulaiman, berkata kawasan pesisiran pantai termasuk di sekitar Pulau Pangkor diklasifikasikan sebagai zon konservasi untuk sumber marin termasuk ikan bilis, membiak.
Jelas beliau, kajian dilakukan pihaknya sebelum ini mendapati apabila pukat jerut bilis digunakan di kawasan pesisiran pantai, didapati bukan sahaja anak bilis tetapi juga anak ikan lain seperti kerapu, turut terperangkap dalam pukat jenis itu.
“Pihak kami bagaimanapun masih meneruskan perbincangan dengan 10 pelesen pukat jerut bilis di Perak yang memohon agar mereka dibenarkan memukat ikan bilis di kawasan pesisiran pantai,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada sidang media berkaitan Op MARDOF di Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Perak di sini hari ini.
Beliau ditanya pemberita mengenai perkembangan perbincangan jabatan tersebut dengan pihak nelayan terbabit yang mengemukakan permohonan itu sejak akhir tahun lalu dengan alasan bagi menampung permintaan terhadap ikan bilis yang semakin meningkat ketika ini.
Menurut Sufian, pendaratan ikan bilis di negara ini yang direkodkan sejak 2015 ialah 15,630 metrik tan pada tahun itu diikuti 29,525 tan metrik (2016); 9,074 tan metrik (2017); 11,595 tan metrik (2018); 13,412 tan metrik (2019) dan 12,910 tan metrik (2020), manakala Pulau Pangkor mengeluarkan antara 700 hingga 900 metrik tan tahun 2020 atau 7.5 peratus daripada hasil seluruh negara.
Sufian berharap nelayan terlibat memahami bahawa apa yang dilakukan pihaknya ialah untuk memastikan sumber ikan bilis sekitar Pulau Pangkor iaitu satu-satunya di Perak, sentiasa mencukupi dan tidak pupus pada masa hadapan.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria turut tidak bersetuju dengan permintaan nelayan terlibat dengan menjelaskan penukaran zon tangkapan sehingga kurang satu batu nautika dari Pulau Pangkor akan menyebabkan ekosistem ikan bilis di pulau tersebut terancam.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Dr. Zambry. Abd Kadir menerusi ciapan di Twitter mencadangkan agar perbincangan diadakan antara nelayan dan Jabatan Perikanan bagi menyelesaikan isu berkaitan penangkapan ikan bilis di perairan itu. – UTUSAN ONLINE