Isu Mara: SPRM mula ambil dokumen - Utusan Malaysia

Isu Mara: SPRM mula ambil dokumen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mula menyiasat dokumen-dokumen penting berhubung dakwaan salah guna kuasa pegawai Majlis Amanah Rakyat (Mara) hari ini sebelum memanggil saksi-saksi untuk beri keterangan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tindakan memanggil saksi-saksi bergantung kepada keterangan-keterangan yang diperoleh daripada siasatan dokumen-dokumen berkenaan.

AZAM BAKI

“Sebaik sahaja siasatan dijalankan, kita akan mengambil dokumen-dokumen yang berkaitan dan sudah tentu memerlukan saksi-saksi untuk menerangkannya,” kata­nya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp di sini, semalam.

SPRM dalam satu kenya­taan memaklumkan siasatan akan dimulakan hari ini de­ngan mengambil keterangan beberapa saksi daripada MARA Corporation (MARA Corp).

SPRM mula menjalankan siasatan selepas agensi itu menerima satu aduan berkaitan dakwaan wujud isu integriti membabitkan beberapa pegawai kanan Mara yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi berkenaan.

SPRM dalam kenyataan sama turut memaklumkan siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, iaitu berkaitan pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan.

Pendedahan mengenai salah guna kuasa itu dibuat satu pemilik akaun Twitter menerusi ciapan bersama lampiran enam helai surat berhubung integriti pegawai Mara.

Dalam pada itu, Pengerusi Mara, Datuk Seri Azizah Mohd. Dun, menafikan berlaku salah guna kuasa atau urus tadbir dalam agensi itu dan anak syarikatnya seperti didakwa menerusi satu dokumen yang tular di media sosial.

Beliau bagaimanapun ber­kata, Mara tidak memandang ringan dakwaan itu dan tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana individu terbabit dalam salah guna kuasa atau tidak berintegriti.

Antara kandungan surat enam helai yang tular itu mendakwa berlaku kesalahan integriti membabitkan pegawai-pegawai Mara.

Surat yang bertarikh 30 Ja­nuari itu dihantar oleh Pengerusi Eksekutif Mara Corporation, Datuk Suhaili Abdul Rahman kepada Azizah.

Isi kandungan surat itu menyatakan laporan penuh itu adalah seperti yang diarahkan oleh Azizah yang meminta supaya siasatan terperinci dibuat oleh bahagian integriti.

Antara perkara yang dibangkitkan dalam surat tersebut adalah berhubung pemberian elaun kepada pemangku ketua pegawai eksekutif tanpa penge­tahuan pengarah eksekutif dan ahli lembaga pengarah.

Turut dibangkitkan me­ngenai tuntutan berganda per­belanjaan petrol dan penyelenggaraan kenderaan.

Juga penggunaan kende­raan syarikat untuk kegunaan harian dan persendirian.

Sementara itu, lima pegawai MARA dikaitkan dengan isu integriti dan salah guna kuasa membabitkan anak syarikat agensi itu, MARA Corporation (MARA Corp) mendakwa difitnah berhubung dokumen yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Susulan itu, kelima-lima nya membuat laporan secara berasingan di Balai Polis Dang Wangi semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×