Iguana, kala jengking mainan Syazlin sejak remaja

Iguana, kala jengking mainan Syazlin sejak remaja

SYAZLIN Hafisya Mohd. Hasni menunjukkan seekor iguana yang dipelihara di rumahnya di Taman Selasih, Kulim. - UTUSAN/AZAHAR HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Seorang gadis, Syazlin Hafisya Mohd. Hasni mempunyai hobi luar biasa apabila tidak merasa takut dan geli memelihara haiwan eksotik seperti iguana dan kala jengking di rumahnya di Taman Selasih di sini.

Pelajar jurusan teknologi maklumat Politeknik Seberang Jaya, Pulau Pinang itu mula berjinak-jinak memelihara haiwan eksotik ketika berusia 15 tahun.

Ini selepas melihat bapanya membela beberapa ekor haiwan seperti kala jengking dan iguana.

Syazlin, 21, berkata, pada awalnya dia hanya memelihara beberapa ekor haiwan eksotik dan kini mempunyai koleksi kira-kira 35 haiwan tersebut daripada pelbagai spesies.

Menurut Syazlin, pada masa ini, haiwan kesukaannya ialah iguana yang diberi nama ‘Izzy’ dan ‘Mango’ serta kala jengking bernama ‘Venom’.

“Sejak kecil saya lagi sudah biasa dengan haiwan-haiwan eksotik dan saya mula memelihara haiwan-haiwan seperti tikus Belanda, naga air dan ular sawa batik,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui di rumahnya di Taman Selasih di sini semalam.

Menurut Syazlin, bapanya, Mohd. Hasni Hassan, 54, dan ibunya, Salmiah Shaari, 47, turut meminati haiwan-haiwan eksotik.

“Ayah pernah menghadiahkan buku ensiklopedia tentang haiwan yang masih disimpan sehingga sekarang. Malah saya juga mencari ilmu tentang habitat dan cara penjagaan haiwan eksotik di laman web dan media sosial.

“Melalui pembacaan serta menonton program dokumentari memberi inspirasi kepada saya terus mendalami ilmu tentang haiwan eksotik,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Hasni memberitahu, haiwan-haiwan itu dibeli dengan harga dari RM40 hingga RM1,500 seekor dan beberapa ekor lagi dihadiahkan oleh peminat haiwan eksotik.

Katanya, dia juga selalu mengadakan pameran seperti mini zoo di ekspo, sekolah serta institut pengajian tinggi.

“Saya juga mempunyai lesen serta permit membela dan mempamer haiwan eksotik daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya