MELAKA: Kekurangan bekalan ayam segar di Pasar Awam Melaka di sini, bukan disebabkan penurunan harga RM8.90 sekilogram atau isu di peringkat penternak, sebaliknya sikap peniaga yang terlalu bergantung kepada satu pemborong.
Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Norena Jaafar berkata, hasil siasatan penguat kuasa mendapati, kekurangan bekalan itu hanya berlaku di pasar awam berkenaan.
Katanya, situasi itu menggambarkan rata-rata peniaga ayam di pasar tersebut tidak mempelbagaikan pemborong dan bergantung kepada satu pemborong sahaja.
“Penguat kuasa kementerian telah membuat siasatan berhubung kekurangan ayam segar di pasar itu dan kita dapati kesemua peniaga mendapatkan bekalan daripada satu pemborong yang sama.
“Pasar awam dan pasar raya di tempat lain bagaimanapun tidak mengalami kekurangan bekalan ayam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurut Norena, pihaknya melakukan pemeriksaan di lebih 50 lokasi melibatkan pasar, pasar tani dan pasar raya seluruh negeri.
“Kita juga dapati semua peniaga ayam patuh dengan harga standard baharu yang ditetapkan iaitu RM8.90 sekilogram,” katanya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, peniaga ayam segar di Pasar Awam Melaka terpaksa menyorokkan barang jualan di bawah meja bagi mengehadkan pembelian, susulan jumlah bekalan didakwa susut sehingga 50 peratus.
Seorang pemborong, Ke Jok Kwee, 60, berkata, dia terpaksa mencatu bekalan ayam yang dipasarkan kepada peniaga di situ susulan bekalan diterima daripada pembekal di Serkam berkurangan kira-kira 35 peratus.
Ujarnya, pembekal memberi alasan bekalan ayam kurang kerana kos penternakan semakin meningkat, namun kerajaan tetap menurunkan harga daripada RM9.50 kepada RM8.90 sekilogram. – UTUSAN ONLINE