MELAKA: Rayuan seorang warga emas di Mahkamah Sesyen di sini hari ini menarik perhatian ramai apabila dia cuba ‘berunding’ agar diberi hukuman penjara selama satu tahun atas kesalahan dadah, dua tahun lalu.
Hakim Nariman Badruddin bagaimanapun menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun terhadap tertuduh, Tan Tiow Choo, 66, yang mengaku salah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan juru bahasa.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memberikan kepada diri sendiri dadah morfin kira-kira pukul 4.30 petang di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Melaka Tengah, 5 Ogos 2020.
Tertuduh sebelum melakukan itu juga mempunyai dua rekod sabitan terdahulu di bawah Seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 pada 2017 dan 2018.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39C (1) ADB yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum tujuh tahun dan hendaklah dikenakan tidak lebih tiga sebatan.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar diberikan hukuman penjara selama setahun.
Rayuan tertuduh itu turut dibalas hakim yang menjelaskan mengenai hukuman minimum, namun tertuduh memohon pula agar tempoh pemenjaraan dimulakan daripada tarikh ditangkap iaitu 11 Januari 2022.
“Kalau tidak dapat setahun, dapat daripada tarikh ditangkap pun jadilah,” katanya sambil tersenyum.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira tertuduh mempunyai dua rekod lampau membabitkan dadah.
Nariman kemudian menetapkan hukuman penjara selama lima tahun dan mengetepikan hukuman sebat dengan mengambil kira faktor usia tertuduh. – UTUSAN










