Empat ditahan ketika pindah barang curi - Utusan Malaysia

Empat ditahan ketika pindah barang curi

POLIS sedang mengesan S. Yogentheran iaitu suspek utama kes pecah gudang dan curi di Bercham, Ipoh kelmarin. - UTUSAN/IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis menumpaskan geng pecah gudang dan curi peralatan pembinaan dengan tertangkapnya empat lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan itu di Bercham di sini, kelmarin.

Kesemua suspek berusia 42 hingga 58 tahun itu diberkas ketika sedang sibuk memindahkan barang curi berkenaan ke dalam kenderaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan kejadian pecah premis dan curi membabitkan kerugian RM800,000, kelmarin.

Katanya, ekoran laporan itu, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Kejadian berlaku di sebuah gudang yang berada di kawasan terpencil di mana orang awam jarang melalui kawasan tersebut.

“Hasil tindakan pantas oleh Ketua Polis Balai Bercham dan anggota berjaya memberkas empat suspek terbabit dan merampas kenderaan serta peralatan yang digunakan untuk melakukan jenayah tersebut.

“Dalam serbuan itu, pihak polis turut merampas barangan besi seberat 7,310 kilogram yang disyaki dicuri kumpulan berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, keempat-empat suspek ditahan reman tujuh hari bermula semalam hingga Selasa ini untuk siasatan lanjut.

Katanya, pihaknya kini sedang memburu suspek utama yang masih bebas iaitu perancang kepada jenayah itu bernama S. Yogentheran, 40, beralamat di Taman Maju Bercham.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu dan pernah membeli barang daripadanya diminta menghubungi pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintenden Norshaharah Marzuki di talian 017-4817800,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN