EAIC tidak dapat menentusahkan wujud kartel dalam PDRM

EAIC tidak dapat menentusahkan wujud kartel dalam PDRM

MOHD. SIDEK HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) tidak dapat menentusahkan kewujudan kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagaimana dakwaan Tan Sri Abdul Hamid Bador pada 18 dan 22 Mac tahun lalu.

Pengerusinya, Tan Sri Sidek Hassan berkata, ia berdasarkan kepada keterangan saksi-saksi beserta dokumen yang diperoleh pihaknya dalam siasatan  berhubung wujudnya gerakan daripada sekumpulan pegawai PDRM yang ingin menjatuhkan bekas Ketua Polis Negara itu serta bersekongkol dengan pihak luar sehingga mewujudkan kartel untuk mendominasi jabatan itu demi kepentingan mereka.

Kata beliau, siasatan berkenaan telah selesai dan dapatan siasatan serta keputusan EAIC dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Zuki Ali.

“Siasatan EAIC mendapati wujud asas bahawa terdapat pegawai PDRM yang terlibat dalam kegiatan sindiket jenayah yang mana siasatan telah dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan PDRM ke atas pegawai-pegawai tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ABDUL HAMID BADOR

Sidek berkata, walau bagaimanapun, dakwaan Abdul Hamid bahawa pegawai-pegawai tersebut dapat mencaturkan perjawatan dalam PDRM untuk menguasai pasukan demi kepentingan peribadi tidak dapat ditentusahkan.

Ini kerana, katanya, keterangan yang diperoleh EAIC menunjukkan tiga aspek iaitu pertama, mekanisme pelantikan, kenaikan pangkat atau pertukaran yang diamalkan PDRM dan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) melibatkan proses yang teliti dan mempunyai beberapa peringkat lapisan yang sukar ditembusi dan dicampur tangan oleh pihak luar.

Selain itu, katanya, Ketua Polis Negara merupakan ahli tetap dalam SPP dan sebarang cadangan pelantikan, kenaikan pangkat atau pertukaran pegawai kanan PDRM kepada SPP perlu mendapat persetujuan daripada Ketua Polis Negara.

“Kedudukan Abdul Hamid selaku Ketua Polis Negara tidak dapat digugat kerana pelantikan jawatan itu adalah berdasarkan kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong dan atas nasihat Perdana Menteri,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN