SUNGAI PETANI: Dua lelaki yang disyaki terbabit dalam kes samun dan tetak seorang peniaga di Taman Seruling di sini pada Ahad lalu direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Perintah reman terhadap dua suspek berusia 18 dan 34 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Nadhirah Abdul Rahim.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Anuar Abd.Rahman berkata, kedua-dua suspek itu ditahan di dua tempat berasingan di sini pada pukul 6.30 petang semalam.
Menurutnya, suspek pertama berusia 34 tahun ditahan di rumahnya di Taman Ria Jaya di sini bersama motosikal jenis Honda EX5 yang digunakan dalam kejadian itu.
Sementara itu katanya, suspek kedua pula ditahan di bawah sebuah blok Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Paya Nahu dan merampas sebilah parang yang disyaki digunakan dalam kejadian tersebut.
“Hasil soal siasat awal, kedua-dua suspek mengaku terlibat melakukan samun dan menetak mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun hingga mendatangkan kecederaan.
Dalam kejadian pada pukul 4 pagi Ahad lalu, mangsa seorang peniaga peniaga disamun dan ditetak ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Seruling di sini.
Mangsa mengalami kecederaan di lutut selepas ditetak menggunakan parang oleh salah seorang suspek sebelum disamun telefon bimbit dan seutas rantai emas.
Kedua-dua suspek kemudian melarikan diri menggunakan sebuah motosikal dan mangsa kemudian membuat laporan polis serta menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini. – UTUSAN