Ditipu Macau Scam RM140,679  ‘ghaib’ menerusi 15 transaksi - Utusan Malaysia

Ditipu Macau Scam RM140,679  ‘ghaib’ menerusi 15 transaksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang ahli perniagaan muda dan ibunya rugi lebih RM140,000 apabila wang simpanan dalam akaun bank didakwa hilang selepas diperdaya sindiket Macau Scam baru-baru ini.

Kejadian menimpa mangsa yang berusia 20-an bermula selepas dia yang tinggal di Machang menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa dari Telekom Malaysia (TM) Point.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, lelaki itu mendakwa identiti mangsa telah digunakan untuk mendaftar talian yang digunakan dalam jenayah siber sebelum panggilan itu disambungkan kepada dua anggota polis berpangkat Sarjan dan Inspektor.

Menurut beliau, ‘Sarjan’ dan ‘Inspektor’ terbabit memaklumkan identiti mangsa terlibat dengan pengubahan wang haram melibatkan satu sindiket pelaburan diketuai seorang individu dan sejumlah wang RM400,000 telah dipindahkan kepada akaun bank mangsa.

“Mangsa yang menafikan penglibatannya dalam kegiatan itu kemudian telan dinasihatkan untuk berurusan dengan seorang lelaki dikenali sebagai Asisten Komisioner Datuk Mohd. Fazley yang akan menolongnya. 

“Selepas siasatan kononnya dijalankan, mangsa diminta menyerahkan maklumat perbankan internet iaitu nama pengguna, kata laluan, kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) serta Kod Pengesahan Transaksi (TAC),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shafien memberitahu, mangsa juga diminta menyerahkan maklumat akaun bank milik ibunya untuk siasatan bagi membuktikan wanita itu tidak terlibat dengan kes pelaburan dan pengubahan wang haram.

Selepas itu, katanya, mangsa mendapati sebanyak 15 transaksi pindahan telah dibuat oleh suspek melibatkan wang berjumlah RM140,679 daripada akaun miliknya dan ibunya bermula 11 hingga 15 Februari lalu.

“Sindiket tersebut memaklumkan kepada mangsa bahawa kesemua wang milik dia dan ibunya terpaksa dipindahkan buat sementara waktu ke Bank Negara Malaysia (BNM) bagi tujuan siasatan dan akan dikembalikan semula.

“Curiga dengan tindakan suspek, mangsa terus membuat laporan di Balai Polis Machang pada 15 Februari lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya