JOHOR BAHRU: Kemelut melanda PKR dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berhubung pembahagian kerusi diharap dapat diselesaikan sebelum tiba hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 26 Februari ini.
Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo berkata, banyak perkara boleh berlaku dalam tempoh seminggu dan pihaknya optimis kerjasama antara kedua-dua parti itu boleh dicapai.
Jelasnya, ini kerana semua pihak tahu kepentingan bagi blok pembangkang untuk bekerjasama dalam PRN Johor pada 12 Mac ini.
“Setakat ini, kita berharap PKR dan Muda dapat cari jalan untuk selesaikan masalah yang timbul supaya dapat capai kerjasama politik dalam PRN Johor ini. Saya fikir masih ada ruang dan masa untuk perbincangan diadakan dan strategi disusun dengan baik agar tiada pertembungan antara kita (blok pembangkang).
“Jadi buat masa ini kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku, masih ada tempoh kira-kira seminggu sebelum hari penamaan calon. Masih ada masa untuk cari jalan penyelesaian kerana saya tahu banyak pertindihan telah diselesaikan,” katanya selepas bersama penduduk di Desa Dato’ Hajah Hasnah, di sini hari ini.
Kelmarin, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu, perbincangan bersama PKR menemukan kegagalan apabila parti itu bertindak mengumumkan calon di kesemua 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diberikan kepada mereka.
Dalam pada itu, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh pula dilaporkan memberitahu, kegagalan kesepakatan itu disebabkan Muda menolak tawaran tiga kerusi diberi PKR sebaliknya mahu kerusi di kawasan lain.
Sementara itu, Gobind berkata, kesepakatan dan kerjasama penting bagi membolehkan rakyat khususnya pengundi di Johor meyakini perjuangan dan kemampuan gabungan itu untuk mentadbir negeri ini. – UTUSAN