Buku Gay is Okay: KDN digesa kemuka rayuan Mahkamah TInggi

Buku Gay is Okay: KDN digesa kemuka rayuan Mahkamah TInggi

KERATAN laporan Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN)  mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan perintah larangan ke atas buku Gay is Okay! A Christian Perspective’.

Presiden GPMS Mohd Alif Anas Md.Noor berkata, ini kerana buku berkenaan dilihat sebagai salah satu usaha untuk cuba menormalisasikan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di dalam negara.

Justeru, katanya, adalah wajar penjualan buku berkenaan dihalang kerana tidak sesuai untuk umat Islam dan budaya Timur lebih-lebih lagi dalam konteks Malaysia yang majoriti penduduknya adalah penganut agama Islam.

“GPMS juga berpendapat, walaupun pihak penerbit mengemukakan alasan kepada Mahkamah Tinggi  bahawa tiada kejadian tidak diingini berlaku sepanjang tempoh tujuh tahun sejak buku itu diterbitkan, ia masih dianggap sebagai promosi homoseksual yang masih boleh menjejaskan umum.

“Tajuk buku berkenaan juga terang-terangan mempromosi budaya LGBT dan menarik minat golongan berisiko seperti kanak-kanak dan remaja untuk ikut terpengaruh membaca isi kandungan buku tersebut dan akhirnya menjerumus mereka ke dalam kancah budaya homoseksual yang menyimpang dari normalisasi ketimuran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 18 Disember 2020, Kementerian Dalam Negeri telah mewartakan perintah larangan terhadap dua penerbitan, antaranya adalah buku “Gay is OK! A Christian Perspective” di bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, berkuatkuasa 27 November 2020.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin dalam keputusan semakan kehakiman yang difailkan oleh penulis buku tersebut, Ngeo Boon Lin dan penerbit buku berkenaan, Chong Ton Sin selaku pemohon telah menolak perintah larangan tersebut.

Menurut Hakim Noorin, perintah larangan tersebut tidak masuk akal kerana buku telah berada dalam pasaran lebih dari tujuh tahun dan penulisnya tidak diberikan peluang untuk untuk didengar (right to be heard) dan menjawab segala dakwaan berkaitan buku tersebut.

Tambah Mohd.Alif Anas, GPMS menggesa dengan tegas agar KDN mengemukakan rayuan segera agar pembatalan perintah larangan ini dapat diteliti semula di peringkat Mahkamah Rayuan dengan hujah-hujah yang lebih terperinci bagi membendung penularan buku ini kepada rakyat Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN