KOTA KINABALU: Pas Sabah menyarankan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) supaya mengetatkan syarat penyertaan ke dalam gabungan itu terutama bagi pemimpin parti yang pernah terlibat rasuah.
Setiausaha Pas Sabah, Dr. Aliakbar Gulasan berkata, rakyat sudah bosan dengan budaya politik lama yang memperlihatkan ahli politik menyertai parti pemerintah untuk menyelamatkan diri apabila terbabit dalam kesalahan rasuah.
“Budaya politik seumpama ini sudah lapuk dan saya yakin semua kepimpinan GRS termasuklah kami daripada Pas akan terus memastikan sistem pentadbiran di negeri ini diurus dengan penuh integriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, beliau mencadangkan supaya kepimpinan utama parti politik yang ingin menyertai GRS mesti melalui tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurutnya, parti baharu atau lama yang ingin menyertai gabungan berkenaan haruslah dalam kalangan mereka yang bebas rasuah supaya semua ahli dalam gabungan ini penuh integriti dan tidak terlibat dengan salah guna kuasa.
“Saya melihat GRS mesti membuktikan keutamaan rakyat adalah lebih penting kerana rasuah boleh menyebabkan seluruh sistem pentadbiran akan rosak dan rakyat yang akan menerima kesan negatif.
“Sekarang anak muda juga lebih cakna dengan ketelusan dan integriti pemimpin-pemimpin politik,” katanya.
Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony menyatakan hasrat membawa parti baharunya iaitu Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) untuk menyertai GRS untuk bersama-sama membangunkan Sabah. UTUSAN