TELUK INTAN: Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) menambah satu lagi produk pelancongan di bandar ini iaitu aktiviti berbasikal di sekitar bandar ini sambil mengunjungi destinasi menarik.
Aktiviti ditawarkan menerusi kerjasama CycleDios Management Sdn. Bhd. yang menyediakan sebanyak 86 basikal pintar.
Menerusi program itu, pengunjung ke bandar itu boleh berbasikal di sekitar bandar menggunakan pelbagai jenis basikal yang sesuai mengikut peringkat usia.
Yang Dipertua MPTI, Ismail Ibrahim berkata, aktiviti riadah berbasikal itu menambahkan lagi aktiviti pelancongan di bandar Teluk Intan.
Katanya, pelancong boleh berbasikal sama ada secara individu atau bersama ahli keluarga di tempat-tempat pelancongan yang menarik.
“MPTI mengucapkan terima kasih kepada CyleDios Management yang sudi meletakkan sebanyak 86 basikal pintar di sini untuk pelancong.
“Ini membolehkan pengunjung yang datang terutama pada cuti am mempunyai lebih banyak pilihan keseronokkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Pengurus Besar CycleDioa, Camees Foong berkata, syarikatnya pembekal perkhidmatan sewaan basikal pintar yang sedang meluaskan operasinya di negeri ini.
Menurutnya, selepas bandar raya Ipoh, Taiping, Kuala Kangsar, Manjung, Tanjung Malim, syarikat itu kini mengembangkan operasinya di bandar Teluk Intan.
Menurut Camees, pihaknya memberi perhatian dalam aspek keselamatan kepada pelancong yang menyewa basikal.
“Individu yang ingin berbasikal mesti memakai pakaian yang bersesuaian supaya dapat mengelak dan mengurangkan kadar kecederaan jika berlakunya kemalangan,” katanya.
Kesemua basikal pintar itu kini diletakkan berdekatan Padang Speedy di sini dan buat masa ini dibuka untuk sewaaan mulai pukul 5 petang hingga 10 malam dengan bayaran antara RM5 hingga RM35 untuk 30 minit tunggangan, bergantung kepada jenis basikal yang disewa. – UTUSAN