jamin paracetamol cukup

Bekalan paracetamol Negeri Sembilan dijamin cukup 

ANGGOTA penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan mengadakan pemeriksaan bekalan paracetamol di sebuah premis di Seremban.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan memberi jaminan bekalan paracetamol di negeri ini mencukupi dan mudah diperoleh pengguna.

Pengarahnya, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, pemeriksaan harian di seluruh negeri ini sentiasa dilakukan bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas pengguna termasuklah bekalan ubat-ubatan seperti paracetamol mudah didapati di pasaran.

“Bermula 1 Januari sehingga 23 Februari lalu, KPDNHEP Negeri Sembilan telah menjalankan pemeriksaan di 5,554 premis dan daripada jumlah ini, sebanyak 213 premis adalah terdiri daripada farmasi, kedai ubat-ubatan dan kedai serbaneka yang diperiksa untuk pemantauan bekalan bekalan kit ujian kendiri Covid-19, pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan ubat-ubatan seperti paracetamol.

“Hasil pemantauan setakat ini, didapati bekalan paracetamol di premis yang diperiksa adalah mencukupi dan juga mudah diperoleh oleh pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurut beliau lagi, pihak KPDNHEP juga tidak menerima sebarang aduan berhubung kekurangan bekalan bagi ubat tersebut sama ada di pasaran melalui sistem e-aduan mahupun panggilan ke Bilik Gerakan Harian.

“Pihak KPDNHEP negeri ini tidak menolak kemungkinan ubat-ubatan asas seperti paracetamol mendapat permintaan tinggi di pasaran ketika ini berikutan penularan jangkitan Covid-19 menerusi varian Omicron. 

“Kami justeru ingin menasihati pengguna supaya tidak membuat pembelian panik dan membeli dalam kuantiti yang diperlukan sahaja.

“Selain itu, terdapat pelbagai jenama bagi paracetamol yang berada pasaran untuk kegunaan pengguna dan tidak seharusnya tertumpu kepada satu jenama sahaja. Kami akan memantau perkara ini secara berterusan untuk memastikan tiada masalah terputus bekalan bagi item ini di pasaran,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN