PETALING JAYA: Perubahan anak tiri Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Asyraf Khalid disebabkan peranan mentor usahawannya, Datuk Dr. Azizan Osman yang berjaya membimbingnya bukan sahaja dalam perniagaan malah kehidupan dalam tempoh tiga bulan.
Bapanya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K berkata, beliau mencemburui dan kagum dengan kebolehan dimiliki Azizan kerana berjaya melahirkan usahawan jutawan.
Menurut beliau, bukan sahaja membentuk individu lain menjadi seorang yang berjaya di dalam perniagaan tetapi individu baik dan taat kepada perintah agama dengan melakukan pelbagai ibadah.
“Bayangkan jutawan yang Azizan bimbing ini, boleh mengingati tuhan, beribadah danbersedekah daripada hasil kejayaan merekaa. Saya percaya sebahagian pahala akan dapat kepada beliau kembali kerana hasil bimbingan, didikan dan tunjuk ajarnya.
“Azizan memimpin tangan mereka semua, tunjuk mereka mana longkang, mana tempat nak kena langkah, mana tempat nak kena lompat, awak semua (rakan usahawan jutawan) sangat beruntung. Saya tak dapat ini semua ketika seusia anda dan masa memulakan perniagaan,” katanya.
Tambahnya, usahawan berjaya perlu memastikan diri mereka tidak melupakan individu dibawah atau yang masih merangkak dan berusaha keras untuk mencapai kejayaan.
“Jangan lupa masyarakat lain, di luar sana ada juga orang yang tak berjaya seperti kita, jangan terlalu berbangga dan ego, tapi berendah diri, ajar mereka untuk capai kejayaan,” ujarnya.
Sementara itu, Asyraf berterima kasih kepada mentornya kerana membantunya mengubah personaliti daripada budak nakal dan selalu mengecewakan bapanya serta merasakan diri ini sangat tidak berjaya.
“Alhamdulillah, semuanya berubah bila bertemu dengan mentor saya yang betul-betul ubah bisnes Mutyara, malah hidup dan memberikan saya banyak perspektif lebih baik.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada bapa yang membesarkan saya sebegini, sentiasa beri bimbingan, tak berikan saya kesenangan dan sentiasa percaya meskipun banyak kegagalan dalam hidup. Saya ambil kegagalan itu sebagai pengajaran dan terima kasih kepada mentor yang dapat mengeluarkan potensi yang ada dalam diri ini,” ujarnya. – UTUSAN