ATM harum nama negara dalam misi pengaman di Lubnan

ATM harum nama negara dalam misi pengaman di Lubnan

AFFENDI BUANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya meningkatkan imej Malaysia yang telah berada dalam misi pengaman di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan) sejak 2007.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang menjelaskan, ATM dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) melalui peranan yang digerakkan kontinjen MALBATT sangat dikenali dan dihormati oleh masyarakat Lubnan berdasarkan sikap profesional dipamerkan oleh setiap pegawai dan anggota kontinjen.

“Mereka amat dihormati terutama komitmen melalui Program Kerjasama Awam dan Tentera bagi misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau Civil Military Coordination in UN Integrated Peacekeeping Missions (UN-CIMIC) berbekalkan slogan ‘Berkhidmat untuk keamanan’.

“MALBATT 850-9 yang berperanan mengawal selia kawasan tanggungjawab seluas 288 kilometer persegi serta memantau keselamatan di 48 buah perbandaran. Kehadiran mereka terus diyakini apabila usaha membina persefahaman serta penerimaan positif kontinjen berkenaan sentiasa diperkukuh dengan tanpa mengabaikan konsep winning the heart and mind terhadap penduduk tempatan setiap kali program CIMIC dilaksanakan,” katanya.

Tambah Affendi, kesinambungan gerak kerja itu menjadi antara agenda utama dari satu kontinjen ke kontinjen yang seterusnya, dalam usaha memperkasa aspek jaringan perhubungan bersama komuniti tempatan seterusnya mencapai aspirasi sebagai salah sebuah Kontinjen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang kredibel dan dihormati.

Pada sesi lawatan kerja beliau  ke kawasan tanggungjawab Kontinjen MALBATT 850-9, beliau turut berpeluang merasmikan MALBATT Fisioterapi Centre di Haidar Khalil Medical Centre, Ma’rakah yang turut disaksikan oleh Mayor Ma’rakah, Mr Adel Saad dan Pengarah Haidar Khalil Medical Centre, Mr Ali Trad.

Menerusi siaran media itu juga, dimaklumkan sebuah projek yang ditaja sepenuhnya oleh MALBATT 850-9, Civil-Military Cooperation (CIMIC) sedang melalui perancangan rapi Sel CIMIC kontinjen berkenaan.

“Sesungguhnya amat disyukuri dan dihargai oleh komuniti Ma’rakah dan komuniti berhampiran atas manfaat besar bagi mereka yang memerlukan rawatan kerana ia merupakan satu-satunya pusat fisioterapi yang ada di daerah tersebut.

“Projek ini telah diluluskan pada 15 Januari 2022 oleh Markas Angkatan Bersama di mana kerja-kerja pembinaan pusat fisioterapi berkenaan dengan ruang bangunan yang disediakan oleh pihak Haidar Khalil Medical Centre telah dilaksanakan oleh Elemen Jurutera MALBATT 850-9 bermula 13 Februari 2022 dan siap sepenuhnya pada 19 Februari 2022,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN