Akademi Memandu Padang Terap terima anugerah gred lima bintang - Utusan Malaysia

Akademi Memandu Padang Terap terima anugerah gred lima bintang

AKADEMI Memandu Padang Terap menerima anugerah gred lima bintang mempunyai perkhidmatan dan fasiliti yang bermutu kepada pelanggan. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Akademi Memandu Padang Terap Sdn. Bhd. di Kubang Kenyeng dalam Mukim Tekai Kiri di Naka, Kuala Nerang di sini merupakan antara institut memandu terbaik di Malaysia selepas menerima dua kali anugerah gred lima bintang oleh Kementerian Pengangkutan iaitu pada 2017 dan 2020.

Penilaian penggredan institut memandu itu yang mula dilaksanakan pada Oktober 2016 diberikan kepada institut memandu yang mempunyai mutu perkhidmatan dan fasiliti yang bermutu kepada pelanggan.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Omar berkata, pihak pengurusan Akademi Memandu Padang Terap berbangga apabila terpilih antara penerima anugerah tersebut daripada 233 institut memandu di seluruh negara.

“Pihak institut memandu ini akan berusaha untuk meningkatkan daya saing dan berusaha memajukan perkhidmatan pembelajaran yang disediakan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Beliau memberitahu, institut memandu yang beroperasi sejak 2011 dan dimiliki sepenuhnya oleh Bumiputera itu sentiasa mementingkan mutu perkhidmatan serta kualiti penyampaian kepada pelanggan.

Katanya, sehingga kini, institut memandu itu telah memberi perkhidmatan kepada lebih 30,000 pemandu di negeri ini.

“Kita sentiasa menambah baik kualiti perkhidmatan dan memastikan setiap bakal pemandu berpuas hati dengan institut memandu ini,” jelasnya.

Syed Ibrahim memberitahu, pihaknya mempunyai seramai 29 pengajar memandu yang layak dan mempunyai Sijil Pengajar Memandu serta kemudahan lengkap bagi kursus dan latihan pemanduan di kawasan seluas 2.4 hektar.

“Buat masa ini operasi institut memandu ini dibuka setiap hari bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang bagi menyelesaikan kursus dan latihan yang tertangguh berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, menurut Pengarah Urusan Akademi Memandu Padang Terap Sdn. Bhd., Zulkifli Abd. Rashid, institut memandu berkenaan terletak di lokasi strategik iaitu berhampiran daerah lain seperti Pokok Sena, Pendang dan Sik.

“Kita bukan sahaja menerima calon latihan daripada daerah Padang Terap malah pelanggan kita datang dari pelbagai kawasan kediaman dan kampung di daerah Pokok Sena, Pendang dan Sik,” katanya.

Menurutnya, selain menyediakan kemudahan lengkap demi keselesaan pelanggan, pihaknya turut menitikberatkan aspek pematuhan prosedur operasi standard sepanjang kursus dan latihan pemanduan dijalankan di situ.

Katanya, pihaknya menawarkan semua jenis permohonan lesen memandu dari motosikal hingga kenderaan berat.

“Kita menawarkan harga bagi pakej dan pembayaran ansuran serta diskaun untuk pelanggan yang datang secara berkumpulan. Apa yang penting tiada kos tersembunyi dikenakan kepada calon latihan,” katanya.

Maklumat lanjut, pelanggan boleh melayari Facebook Akademi Memandu Padang Terap Sdn. Bhd. khususnya bagi yang mahu mendapatkan lesen memandu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN