Ahmad Zahid pun ada jumpa saya untuk berbaik-baik - Tun M - Utusan Malaysia

Ahmad Zahid pun ada jumpa saya untuk berbaik-baik – Tun M

MAHATHIR Mohamad bercakap dalam sidang akhbar Majlis Pelancaran Aspirasi Johor parti Pejuang di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad mendedahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga pernah datang menemuinya untuk ‘berbaik-baik’.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah air (Pejuang) itu berkata, Ahmad Zahid hadir menemuinya bersama-sama beberapa orang lagi sebelum beliau dilantik sebagai Perdana Menteri ketujuh.

“Ahmad Zahid datang bertemu saya untuk berbaik-baik memandangkan ketika itu kemungkinan saya akan dilantik sebagai Perdana Menteri (selepas Pilihan Raya Umum Ke-14),” katanya dalam sidang akhbar Majlis Pelancaran Aspirasi Pejuang Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan wartawan sama ada Ahmad Zahid pernah menemuinya untuk membincangkan mengenai kes tuduhan mahkamah yang dihadapi.

Bekas Perdana Menteri itu juga mendedahkan, Ahmad Zahid dilihat cuba menghapuskan kes tuduhan di mahkamah ketika Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa iaitu ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Saya dengar bahawa dia (Ahmad Zahid) cuba nak hapuskan tindakan terhadapnya melalui mahkamah. Beliau juga mahu siasatan terhadapnya dihentikan dan itu benar.

“Tetapi saya tahu, masalah Ahmad Zahid ini ada kemungkinan beliau akan dimasukkan ke dalam penjara disebabkan kesalahan yang dilakukannya,” katanya.

Sebelum ini, Muhyiddin mendedahkan Ahmad Zahid ada ke rumahnya dengan membawa satu beg berisi dokumen kes mahkamah dan berbincang mengenai kes mahkamah yang dihadapi.

Bagaimanapun Ahmad Zahid menafikan perkara itu, malah, sanggup dan bersedia melakukan sumpah laknat sebagai penafian kepada tuduhan Muhyiddin itu.

Ahmad Zahid mendakwa tidak pernah pergi berjumpa dengan Muhyiddin sepanjang tempohnya menjadi Perdana Menteri atau membawa timbunan fail untuk meminta dilepaskan daripada tuduhan mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN