310 pelajar UPSI terkesan banjir terima sumbangan

310 pelajar UPSI terkesan banjir terima sumbangan

DR. NORKHALID Salimin (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada pelajar yang terkesan banjir di UPSI Tanjung Malim semalam. - UTUSAN/IHSAN UPSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Seramai 310 pelajar dari pelbagai fakulti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini menerima bantuan musibah banjir berjumlah RM155,500 semalam.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof. Madya Dr. Norkhalid Salimin menyampaikan sumbangan kepada penerima.

Norkhalid berkata, seramai 37 daripada 310 pelajar di Pusat Pelajar Bahagian Hal Ehwal Pelajar Kampus Sultan Azlan Shah UPSI menerima sumbangan dalam bentuk tunai.

Menurutnya, sebahagian daripada pelajar yang menerima sumbangan itu berada di kampus manakala selebihnya sumbangan diberikan secara transaksi atas talian.

“Pelajar berkenaan terkesan di lokasi-lokasi banjir yang melanda negara pada pertengahan Disember lalu iaitu di Hulu Langat, Kuala Langat, Taman Sri Muda, Parit Mahang, Rawang dan Padang Jawa di Selangor.

“Juga di daerah Segamat, Johor manakala di Pahang dari daerah Mentakab, Temerloh, Bentong, Janda Baik dan Raub.

“Bantuan turut disalurkan melalui Program Baktisiswa Bantuan Banjir di Bentong Pahang bernilai RM10,000,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md Taff menzahirkan rasa simpati terhadap pelajar yang terkesan akibat banjir.

Menurutnya, pihaknya sentiasa menyuntik semangat kepada warga UPSI untuk membantu masyarakat dalam menyumbang tenaga,  fikiran dan wang ringgit.

Katanya, dalam masa sama warga UPSI  juga membantu masyarakat yang menghadapi  musibah banjir yang melanda negara. 

“Warga universiti dan UPSI mengadakan lebih 50 misi bantuan seawal 19 Disember lalu di 13 lokasi berbeza di Selangor, Johor, Pahang dan Negeri Sembilan melibatkan sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar UPSI,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN