KUALA LUMPUR: Pelakon Datuk Afdlin Shauki dan pelawak, Shahrol Shiro tidak dapat mengesahkan ura-ura ama mereka bakal dicalonkan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.
Bagaimanapun, kedua-dua personaliti itu bersedia memikul tanggungjawab jika benar mereka bakal bertanding pada PRN kali ini.
Afdlin, 50, berkata, beliau kini hanya ahli biasa Parti Keadilan (PKR) namun tidak menolak jika pucuk pimpinan memberi kepercayaan dan mandat untuk sebarang jawatan atau dicalonkan pada pilihan raya ini.
“Keputusan tersebut terpulang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya ahli PKR biasa sahaja. Cuma ada dengar-dengar nama dicalonkan untuk jadi wakil rakyat, tetapi saya tak boleh sahkan atau nafikan.
“Kalau tak dapat jawatan pun, saya tetap akan sokong sesiapa sahaja yang dicalonkan itu.
“Saya percaya kita kena bekerja sebagai satu pasukan untuk pastikan tugasan dapat membantu masyarakat itu dilaksanakan dengan baik. Dan ya, kalau dicalonkan, saya bersedia,”katanya semasa ditemui pada majlis tayangan perdana filem The Assistant arahan Adrian Teh di The Starling di ibu negara semalam.
Selain itu, kata Afdlin, dia juga turut menyokong mana-mana rakan artis dan selebriti yang terjun ke bidang politik dengan niat ingin membantu rakyat.
“Tak kisahlah dia mewakili mana-mana parti politik pun, Barisan Nasional (BN), PKR dan sebagainya. Janji, niatnya untuk membantu ,”katanya.
Dalam pada itu, Afdlin memuji kejayaan rakan artis seperti Datuk Dira Abu Zahar yang mewakili parti BN pada waktu ini sekali gus membuktikan bahawa golongan selebriti juga mampu berjaya dalam bidang politik.
“Macam Dira, menerusi pembabitannya, lebih banyak orang seni berjaya ia menunjukkan satu benda iaitu, kami ini bukan bodoh seperti ramai yang orang sangkakan.
“Kita semua bersekolah dan tahu isu-isu semasa, cuma kerjaya kami adalah bidang seni. Dira contohnya, juga membuktikan bahawa wanita juga mampu terpilih menjawat jawatan tertinggi pengelolaan negara,” kata beliau.
Sementara itu, Shahrol menegaskan pemilihan calon untuk bertanding dalam PRN Johor di bawah bidang kuasa pucuk pimpinan parti.

Justeru, dia yang berjawatan Penolong Bendarhari Pemuda UMNO Kluang memberitahu tidak dapat menjawab sama ada akan bertanding atau tidak dalam PRN Johor memandangkan keputusan itu bukan dibuatnya.
“Ini keputusan pihak atasan, bukan saya. Yang dirasakan layak dan mampu menang akan dipilih.
“Pucuk kepimpinan masih dalam proses perbincangan untuk menamakan calon. Kalau pun tidak bertanding, saya tetap akan turun padang memberi sokongan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Kata Shahrol, tanggungjawab yang digalas seorang wakil rakyat cukup besar, justeru, hanya yang benar-benar layak sepatutnya diketengahkan.
“Kita kena faham, yang bertanding itu adalah wakil kepada suara rakyat. Bukan pegang jawatan semata-mata.
“Apa yang penting, tanggungjawab yang digalas bukan mudah. Bukan ringan. Sesiapapun yang kuat bekerja dan mampu berkhidmat, dialah yang layak,” ujarnya.
Dalam pada itu, ditanya kesediaan dan perancangan sekiranya diberi peluang mewakili parti dan bertanding, Shahrol berkata, semuanya berbalik kepada tanggungjawab hakiki yang perlu dilaksanakan.
“Kluang adalah tanah tumpah darah saya. Sudah tentu kalau diberi peluang, agenda yang saya perjuangkan adalah untuk rakyat yang terkesan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu,” tegasnya. – UTUSAN










