Tiada petunjuk kehilangan kanak-kanak 10 tahun - Utusan Malaysia

Tiada petunjuk kehilangan kanak-kanak 10 tahun

KAMALIAH Anab yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu dalam hutan di Kampung Selaur berhampiran Kampung Padang Jeri dekat Gerik. - IHSAN PEMBACA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Tiada sebarang petunjuk baharu ditemukan pasukan penyelamat dalam misi mencari kanak-kanak perempuan Orang Asli, Kamaliah Anab yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu dalam hutan di Kampung Selaur, berhampiran Kampung Padang Jeri, dekat sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, Azizan Aziz berkata, operasi yang memasuki hari keempat itu gagal menemukan petunjuk positif meskipun kawasan pencarian  diperluas sehingga 10 kilometer.

Katanya, gerakan mencari mangsa berusia 10 tahun itu disertai Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), Pasukan Multi Skill Team (MUST) dan Unit Anjing Pengesan (K9).

“Sehingga hari ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak itu membabitkan kawasan pencarian seluas 10km di kawasan bukit setinggi 800 meter dari paras laut. Bagaimanapun, tiada petunjuk baharu ditemui pasukan penyelamat setakat ini,” katanya di sini hari ini.

Azizan berkata, operasi mencari mangsa berdepan kesukaran kerana keadaan kawasan yang mempunyai cerun tinggi selain tiada talian komunikasi di lokasi kali terakhir mangsa dilihat.

Katanya, anggota juga terpaksa bermalam di dalam hutan yang mengambil masa dua jam perjalanan.

“Operasi mencari mangsa membabitkan 37 anggota pelbagai agensi antaranya polis, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Pasukan Gerakan Am (PGA), Sapura Komunikasi dan penduduk kampung juga turut serta dalam operasi berkenaan,” katanya.

Kamaliah kali terakhir dilihat memakai baju kuning dan seluar biru ketika dia mengikuti keluarganya mencari hasil rotan di kawasan Hutan Temengor dekat sini.

Kehilangan mangsa disedari sekitar pukul 4.30 petang sebaik sahaja keluarganya dan penduduk lain tiba di kampung selepas mencari hasil rotan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN