Tenggelam akibat banjir, Janda Baik  ditutup sementara  - Utusan Malaysia

Tenggelam akibat banjir, Janda Baik  ditutup sementara 

MOHD. SHARKAR Shamsuddin (kanan) membuat tinjauan di kawasan pelancongan Pulau Santap, Janda Baik di Bentong, Pahang. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Kerajaan negeri mengarahkan semua aktiviti pelancongan di Janda Baik yang tenggelam dalam kejadian banjir  ditutup  sementara waktu sehingga pengumuman rasmi pembukaannya dibuat semula.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, penutupan itu ekoran kerosakan fasiliti pelancongan akibat kejadian banjir kepala air pada 18 Disember lalu.

Menurut beliau, penutupan itu selepas mengambil kira penilaian risiko yang masih ada selepas kawasan terbabit dilanda fenomena banjir luar biasa.

“Dengan pemberhentian aktiviti pelancongan juga memudahkan proses penilaian kerugian serta kerja baik pulih infrastruktur yang rosak teruk dalam kejadian terbabit. 

“Berdasarkan rekod  Tourism Pahang, sebanyak 33 daripada 54 chalet dan resort pelbagai kategori rosak ketika kejadian ‘kepala air’ dari Sungai Benus hingga mengakibatkan pekan Janda Baik tenggelam. 

“Nilai kerugian dianggarkan RM4 hingga RM5 juta dan ada chalet ranap sepenuhnya selain  memerlukan modal serta masa untuk dibina semula,” katanya selepas melakukan tinjauan di Pulau Santap di Janda Baik di sini hari ini. 

Turut serta ialah Pengarah Tourism Pahang, Kamarudin Ibrahim. 

Berikutan itu, kira-kira 300 pekerja resort atau chalet di pusat peranginan itu kehilangan sumber pendapatan. 

Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, pihaknya akan berbincang dengan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan mengutus surat rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi mendapatkan perhatian khusus dalam usaha membaik pulih kemudahan asas di Janda Baik. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN