PETALING JAYA: Kerajaan disaran menyemak semula gaji penjawat awam yang ketika ini masih menggunakan Sistem Penjawat Awam Malaysia (SPWM) yang hanya ditambah baik daripada Sistem Saraan Malaysia (SSM), 20 tahun lalu.
Meskipun adanya sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), namun ia terpaksa dibatalkan dan SSM ditambah baik, tetapi tidak diganti dengan skim yang baharu.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Abdul Rahman Mohd. Nordin berkata, kerajaan sepatutnya menyemak semula pendapatan penjawat awam dan bukan hanya menambah baik gred pegawai itu setiap lima tahun.
Menurut beliau, ini kerana jurang pendapatan yang diterima dan perbelanjaan pada masa kini amat jauh perbezaannya dengan dilihat melebihi 100 peratus kenaikan berbanding pendapatan penjawat awam.
“Kos sara hidup ketika ini terlalu tinggi berbanding sumber pendapatan, jika kita lihat harga barangan dan perkhidmatan asas yang lain seperti makanan, minuman, kesihatan, pengangkutan, pendidikan dan komunikasi menunjukkan peningkatan.
“Oleh itu, sumber pendapatan penjawat awam sepatutnya adil dengan kos-kos yang meningkat, maka gaji juga perlu ditingkatkan selaras dengan peningkatan kos keperluan asas ini.
“Jika naikkan elaun-elaun lain seperti elaun tugas dan elaun perumahan tak beri kesan, tetapi kenaikan gaji yang beri kesan kepada pendapatan selepas pencen itu nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
SBPA yang menimbulkan kontroversi dalam kalangan kakitangan awam terutama Gred 54 ke bawah dibatalkan pada Mac 2012.
Keputusan itu diambil selepas menilai semula implikasi kewangan kerajaan dan meneliti cadangan CUEPACS, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Selain itu, cadangan turut diterima daripada Majlis Pendaftar Institusi Pengajian Tinggi Awam, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Pergigian Malaysia (MDA) dan Majlis Persatuan Akademik Malaysia.- UTUSAN










