JOHOR BAHRU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang menyangkal khabar angin beliau akan menjadi pencetus berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan menjadi wakil rakyat bebas di negeri itu.
Khabar angin mengenai Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tebrau itu akan bertindak mengisytiharkan dirinya menjadi ADUN Bebas bertiup kencang sejak kebelakangan ini hingga menjadi bualan hangat.
Mazlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri menjelaskan, khabar angin itu bukan perkara baharu membabitkan dirinya bahkan namanya sudah terpalit dengan berita tersebut sejak tahun lalu lagi.
“Sehingga hari ini, saya masih lagi ahli Bersatu dan masih lagi Ketua Bahagian Bersatu Tebrau. Khabar angin memang macam-macam. Saya boleh jadi apa sahaja dalam khabar angin itu.
“Politik ini kita tidak tahu apa akan jadi akan datang. Hari ini boleh jadi kawan, esok jadi musuh, yang musuh pula boleh jadi kawan. Dalam perlembagaan kita ada hak kebebasan untuk sertai apa jua parti selagi tiada perubahan dari segi undang-undang, kita bebas untuk sertai apa jua parti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup Festival Permainan Tradisional Negeri Johor, yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.
Baru-baru ini, nama Mazlan menjadi bualan apabila didakwa bakal mengisytiharkan dirinya sebagai ADUN Bebas dan dengan tindakannya itu kononnya membolehkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN.
Dalam pada itu, Mazlan turut menolak khabar angin akan berlakunya PRN dalam masa terdekat.
“Setakat ini saya rasa tidak akan berlaku PRN dalam masa terdekat. Kita di Johor, walau ada satu majoriti, keadaannya amat stabil kecuali ada hal luar jangkaan berlaku.
“Namun, setakat ini dari segi keakraban dan juga perkongsian kuasa dari parti politik yang ada dalam kerajaan, kita tiada masalah untuk kekalkan kerajaan negeri. Apa yang baik di Johor ini kita dapat kerjasama yang baik dari pembangkang apatah lagi kita masih dalam pandemik Covid-19,” katanya.
Beliau berkata, bencana banjir yang masih menjejaskan beberapa daerah di negeri ini juga membataskan berlakunya PRN diadakan dalam masa terdekat.
“Ini kerana ada sekolah di Johor yang akan dijadikan pusat mengundi masih lagi dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS). Jadi, tak mungkin PRN akan dapat dilakukan dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN