Sarawak tekad jadi pengeluar, pengeksport makanan menjelang 2030 - Utusan Malaysia

Sarawak tekad jadi pengeluar, pengeksport makanan menjelang 2030

DOUGLAS Uggah (dua dari kiri) menyerahkan dokumen penyerahan tugas kepada Stephen Rundi Utom (dua dari kanan) sambil diperhati oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah (kiri) dan Menteri Muda Permodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Dr Abdul Rahman Ismail (kanan).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak yang baharu dilantik Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, beliau tidak sabar untuk meneroka dan mendedahkan dirinya kepada tugasan yang lebih besar dalam  sektor pertanian.

Beliau yang mengambil alih portfolio berkenaan daripada Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah berkata, fokus beliau lebih kepada membantu negeri ini menjadi pengeluar dan pengeksport utama produk makanan.

“Kebimbangan utama saya ialah petani luar bandar, bagaimana untuk menaik taraf sara hidup petani yang bergelut ini untuk menjadi pengeluar komersial.

“Kami mahu membantu mereka meningkatkan produktiviti dan pendapatan secara serentak.

“Saya percaya satu-satunya cara untuk mencapai hasrat itu ialah untu kami semua bekerja dengan penuh komitmen sebagai satu pasukan,” katanya kepada pemberita selepas majlis menerima serah tugas baharunya itu daripada Douglas hari ini.

Tambahnya lagi, sektor pertanian merupakan salah satu sektor pembangunan strategik negeri pasca Covid-19, untuk melahirkan masyarakat berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Rundi yang bekas Menteri Utiliti berkata beliau akan meneruskan usaha dan inisiatIf yang telah dilaksanakan oleh menteri terdahulu dan berharap dapat  menterjemahkannya supaya rakyat dapat merasai kesan yang lebih besar.

“Berdasarkan pemerhatian  saya ketika mengikutinya selama bertahun-tahun, Douglas ialah seorang menteri yang bekerja keras.

“Saya harap saya dapat mencontohi budaya kerja beliau,” ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau juga akan terus berunding dengan Ketua Menteri mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan kementerian.

“Kami juga memerlukan idea baharu dengan bantuan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Patinggi Ababg Johari Tun Openg dan Douglas, ” tambah beliau. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN